Lelaki berkain pelikat dicari, perbuatan buang patung sembahyang di Kulai boleh cetus huru hara


  • Tular
  • Khamis, 19 Mei 2022

Tangkap layar video tular lelaki membuang patung sembahyang Hindu.

MALAYSIA dikenali sebagai negara yang hidup berbilang agama dan kaum selain mengamalkan sikap toleransi sehingga berpuluh tahun lamanya.

Meskipun agama rasmi bagi negara ini adalah Islam, umatnya tetap wajib menghormati agama lain sama seperti agama lain yang saling menjaga sensitiviti kepercayaan lain.

Namun, perbuatan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang bertindak menghina agama akan menyebabkan huru-hara dan perbalahan di negara ini.

Baru-baru ini, tular di laman Facebook mengenai video seorang lelaki bersongkok serta berkain pelikat bertindak membuang patung sembahyang agama Hindu.

Video berdurasi 42 saat itu memaparkan, lelaki tersebut singgah di sebuah rumah dan membuka tong sampah di luar rumah tersebut.

Pada masa sama, lelaki berkenaan mengambil patung berhala yang diletakkan di luar rumah itu sebelum membuangnya ke dalam tong sampah dan berlalu pergi.

Tindakan lelaki tersebut mendapat kecaman ramai yang rata-ratanya berpendapat dia tidak menghormati agama lain.

Sementara itu, pihak polis telah mengesan video tersebut yang berlaku di Taman Scientex Senai, Kulai, Johor.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, satu laporan polis telah diterima manakala rakaman percakapan pengadu juga diambil.

Beliau berkata, dalam kejadian yang berlaku pada sekitar pukul 9 pagi Ahad lalu, pengadu telah mengesahkan bahawa patung sembahyang Dewa Ganesh miliknya yang diletakkan di luar halaman rumah adalah untuk tujuan hiasan dan bukan untuk tujuan sembahyang.

Katanya, tiada sebarang kerosakan ke atas patung tersebut manakala pengadu telah meletakkan semula di tempat asal.

"Salinan CCTV di tempat kejadian telah diambil untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat).

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan.

Individu yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau pegawai penyiasat kes Sarjan Leon Kuda Anak Ikel di talian 012-7779338 untuk tindakan lanjut.

Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak sesekali menyentuh sensitiviti agama yang boleh membawa kepada ketegangan kaum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram