TULAR di media sosial rakaman tiga buah kenderaan supercar dengan nombor plat Singapura berlumba di lebuh raya dipercayai di Johor.
Klip itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama Kai Fuqara.
Menerusi rakaman itu, kelihatan ketiga-tiga kereta tersebut memotong kenderaan lain secara 'zig-zag' dengan 'memakan' laluan kiri, tengah dan kanan lebuh raya.
Pemandu kenderaan itu juga dilihat mengekori rapat antara satu sama lain dan saling memotong sebelum memecut di lorong kanan iaitu laluan laju. Aksi mereka dilihat membahayakan pengguna jalan raya lain.
Dalam kapsyen video itu disertakan empat model kereta yang berlumba iaitu Volkswagen Golf MK7, Audi R8, Toyota GR Supra dan Ferrari.
Tangkap layar rakaman tiga buah kereta supercar plat Singapura berlumba yang tular baru-baru ini. — Facebook
Kereta keempat dipercayai adalah kereta perakam video berkenaan berdasarkan pada tanda pagar di klip video tersebut iaitu #mk7owners dan #vwclubmalaysia.
Pemandu terbabit dilihat turut mengekori rapat tiga kenderaan tersebut yang dipandu secara laju sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dia ikut berlumba sama atau mahu sekadar mahu merakam aksi lumba itu.
Tidak dapat dipastikan sama ada kereta keempat terbabit juga dari Singapura ataupun pemilik tempatan kerana kereta tersebut tidak kelihatan dalam video.
Semakan Majoriti di laman Facebook Kai Fuqara itu mendapati, individu berkenaan berkemungkinan adalah pemandu Volkswagen Golf MK7 tersebut memandangkan dia sering berkongsi video kereta miliknya selain rakaman pemanduan di lebuh raya.
Komen seorang pengguna Facebook terhadap video tular itu. — Facebook
Individu berkenaan juga kerap berkongsi gambar kereta berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran Malaysia bermula dengan huruf 'W'.
"Depa (pemandu warga Singapura) ikut contoh pemandu kita haha," tulis Zaieri Saad di ruangan komen.
Video tersebut juga berkemungkinan adalah video baharu berdasarkan tanda pagar #SelamatHariRaya2022 yang disertakan di ruangan kapsyen Reels itu.
Semakan Majoriti juga mendapati video berkenaan mendapati rakaman tersebut mendapat hampir 40,000 tontonan sejak tular pada Isnin.
Majoriti sedang menunggu respons Polis Johor berhubung video viral berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram