MFL respons kes samseng bola sepak


  • Podium
  • Isnin, 16 Mei 2022

Samseng bola sepak yang dianggotai kira-kira 100 orang melakukan provokasi dan serangan ke arah penyokong Penang FC.

INSIDEN serangan terhadap penyokong Penang FC yang dakwanya dilakukan oleh skuad The Bos Gaurus mendapat pelbagai respons ramai pihak di media sosial.

Rata-rata mereka menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku, malah ada segelintir penyokong Perak FC yang tampil memohon maaf atas kejadian yang berlaku.

Terdahulu, Majoriti melaporkan tentang satu video tular memaparkan kekecohan yang berlaku di Stadium Ipoh, Perak dalam pertembungan antara Perak FC menentang Penang FC yang berkesudahan 1-4.

Video tersebut memaparkan samseng bola sepak yang dianggotai kira-kira 100 orang melakukan provokasi dan serangan ke arah penyokong Penang FC.

Melalui info yang diterima, difahamkan kumpulan samseng itu dipengaruhi alkohol yang menyebabkan mereka sukar dikawal anggota keselamatan stadium sehinggakan mengingkari arahan pihak polis.

Pihak keselamatan stadium cuba menenangkan kumpulan terbabit yang membaling mercun ke arah padang tetapi tidak diendahkan sehinggakan pihak polis terpaksa campur tangan.

Mengulas lanjut insiden itu, Malaysia Football Leaguea (MFL) berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian penyokong pelawat diserang di Stadium Ipoh, Perak dalam pertembungan antara Perak FC menentang Penang FC pada Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang turut menyatakan bahawa belum ada individu yang tampil bagi melaporkan kepada MFL tentang kejadian tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencari maklumat tentang kejadian tersebut sebelum membuat sebarang tindakan susulan.

"Pihak MFL belum tidak mendapat laporan tentang kejadian serangan terhadap penyokong Penang FC seperti dilaporkan media.

"Kami akan siasat dahulu perkara ini, tidak tahu apa punca masalahnya, kita akan maklumkan perkembangan terkini dari masa ke masa," katanya kepada Majoriti. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram