'Influencer' berhijab suka menari, Ustazah Asma Harun beri teguran pedas


  • Mukmin
  • Khamis, 19 Mei 2022

Tangkap layar Sabrina sedang melakukan aktiviti kegemarannya iaitu menari.

BARU-BARU ini, kecoh video temubual seorang selebriti media sosial (influencer) bersama sebuah agensi berita antarabangsa BBC apabila mendakwa dirinya sering menerima kecaman dan mendapat komen berbaur kebencian daripada warganet kerana minatnya terhadap tarian.

Wanita yang dikenali sebagai Sabrina itu merupakan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Korea Selatan, dan sebelum ini dia pernah tular di media sosial kerana memuat naik video menari serta sering berkongsi kehidupannya di negara itu.

"Bagi saya, selagi saya rasa saya buat benda yang betul, saya tak cederakan sesiapa dan saya rasa ia tidak menjadi masalah.

"Bila mereka fikirkan tentang hijab, mereka berpendapat 'Oh, kamu mesti menututup diri kamu, kamu harus bersembunyi, kamu tidak boleh berbangga dengan diri sendiri dan kamu tidak berasa yakin.

"Saya berasa yakin mengenakan tudung, saya sukakannya tetapi saya juga suka menari dan camtumkannya keduanya," katanya menerusi temubual berkenaan.

ss

Tangkap layar ciapan dari agensi berita antarabangsa BBC berhubung temubual bersama Sabrina.

Kenyataannya itu bukan sahaja mendapat kecaman hebat dari warganet di media sosial, malah mendapat perhatian dari pendakwah popular, Ustazah Asma Harun yang menegur kenyataan wanita berusia 22 tahun itu.

Menurut Asma, teguran itu adalah kerana rasa tanggungjawabnya sesama Muslim dan beliau berpandangan cara hidup seseorang di dunia itu tidak boleh hanya bersandar pada logik akal serta pendapat peribadi namun setiap perkara perlu merujuk garis panduan al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW.

“Jika kita sebut tentang tarian, pasti ia melibatkan pergerakan tangan, bahu, dada, kaki dan punggung yang berlatar belakangkan apa jua jenis muzik.

“Seharusnya video-video tersebut hanya disimpan untuk tatapan peribadi, tetapi hari ini ia dimuat naik secara terbuka untuk tatapan seluruh warga maya tanpa ada rasa segan dan silu,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Asma, mungkin individu yang bertindak demikian berbangga mendapat jutaan pengikut dan tontonan yang banyak di media sosial apabila memuat naik video-video tarian.

“Namun, tidak terfikirkah andai satu hari nanti ingin bertaubat, dosa kita insya-ALLAH boleh terpadam dengan taubat nasuha, namun bagaimana dengan video-video tarian lama yang telah dimuat turun oleh orang ramai?

“Bagaimana pula jika tidak sempat bertaubat lalu ajal terlebih dahulu menyapa kita? Dosanya kita tanggung secara berterusan walau sudah berada di alam kubur. Allahuakbar,” katanya.

Bagi Asma, pendapat yang diutarakan oleh wanita itu adalah antara bentuk normalisasi ideologi liberal yang perlahan-lahan mula meracuni pemikiran masyarakat umat Islam.

Asma berkata, meskipun Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka namun jangan sampai ia menjejaskan akidah atau melanggar batasan agama.

Dalam pada itu, Asma turut menasihatkan pensohor media sosial supaya menjadi influencer yang mempunyai rasa tanggungjawab kepada masyarakat Islam, serta tidak menyumbang kepada kerosakan yang sedia parah ini.

“Usahalah untuk hentikan apa jua content yang menjatuhkan nilai diri sebagai orang Islam lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita Muslimah.

“Masih ramai ‘influencer’ dalam bidang hiburan yang membawa imej baik, berkaliber, bermaruah, menjaga batasan, namun tetap mampu bertahan dan berjaya dengan cemerlang. Jadikanlah mereka contoh tauladan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram