'Guna strobe, glove polis,' pemandu Toyota Camry lagak anggota penguat kuasa elak kesesakan


  • Tular
  • Selasa, 17 Mei 2022

Tangkap layar pemandu Toyota Camry yang mengarahkan pengguna jalan raya lain memberi laluan kepadanya.

SEORANG pemandu Toyota Camry yang bertindak lagak seperti anggota penguat kuasa di jalan raya tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video kamera perakam video (dashcam), pemandu kereta berwarna hitam itu yang dilihat memakai sarung tangan putih mengangkat tangan bagi mengarahkan pengguna jalan raya memberi laluan kepadanya.

Tindakan itu dilakukan bagi mengelakkannya berdepan dengan kesesakan lalu lintas dalam kejadian pada pukul 6.13 petang Selasa lalu.

Pengguna jalan raya lain terpaksa memberi laluan kepada pemandu tersebut kerana mereka percaya dia merupakan anggota penguat kuasa.

Tambahan pula, pemandu tersebut memasang lampu strobe di bahagian papan pemuka atau dashboard keretanya.

Hasil semakan mendapati, nombor plat kenderaan tersebut berdepan dengan empat saman berjumlah RM1,050 setakat 13 Mei lalu.

Selain itu, kenderaan tersebut dimiliki oleh Spanco Sdn Bhd, syarikat yang dipercayai membekalkan kenderaan kepada kerajaan.

Lokasi kejadian masih belum dikenal pasti manakala Majoriti masih cuba mendapatkan kenyataan pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram