Bau, lalat petunjuk kesan 2 pendaki wanita dihanyut kepala air di Gunung Suku


  • 112
  • Selasa, 17 Mei 2022

Anggota penyelamat membawa keluar anggota badan seorang daripada dua pendaki yang ditemukan pada Ahad. — Bernama

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita dihanyutkan kepala air di Gunung Suku, dekat Simpang Pulai, Johor yang diteruskan pada Selasa tertumpu kepada usaha mencari petunjuk seperti hurungan lalat dan langau, selain bau.

Malah, Timbalan Komander Operasi, Umrani Che Mat berkata, gerak kerja hari ini lebih berpandukan kepada peralatan seperti cangkul dan pengorek kerana pihaknya menganggarkan mangsa kemungkinan berada di bawah lumpur dan kayu dibawa air.

"Melalui pemerhatian semalam, kita menjumpai sebahagian badan mangsa itu pun berada di bawah timbunan kayu dan juga lumpur.

"Jadi kita lebih fokus kepada timbunan kayu yang kita jumpa, selain penemuan dari unit pengesan pencarian juga lebih berdasarkan kepada langau dan lalat memandangkan hari ini sudah masuk hari ketiga.

"Ini kerana kemungkinan langau dan lalat itu akan lebih tertumpu kepada bau (pada mangsa)," katanya.

Pada Isnin, pasukan menyelamat dilapor menemukan bahagian badan manusia dalam timbunan kayu pokok dipercayai milik seorang daripada pendaki terbabit.

Sehari sebelum itu, sebelah kaki dipercayai milik mangsa turut ditemukan.

Beliau berkata, SAR dimulakan seawal pukul 9 pagi membabitkan keseluruhan 63 anggota daripada pelbagai agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Perhutanan Perak, Unit Anjing Pengesan (K9), selain dibantu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Selangor.

Beliau berkata, operasi pada Selasa dipecahkan kepada dua kumpulan dengan pencarian lebih teliti di laluan sejauh satu kilometer bermula dari kepala air di bahagian bawah sehingga ke bahagian atas di lokasi mangsa dijangka berada.

"Gerak kerja pagi ini masih dipecahkan kepada dua pasukan, cuma memandangkan laluan di atas itu agak sukar, jadi kita lebih fokus kepada bahagian bawah.

"Satu pasukan akan difokuskan kepada pencarian betul-betul di laluan kepala air di bawah dan satu lagi terus menjurus kepada lokasi penemuan yang mana kita jumpa sebahagian anggota mangsa pada Isnin," katanya.

Katanya, setakat ini masih belum ada menemui petunjuk baharu penemuan mangsa dan operasi SAR pencarian masih berjalan sehingga kini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Ahad, dua wanita iaitu See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dilapor dihanyutkan kepala air ketika menyertai sekumpulan 29 pendaki Gunung Suku. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram