SELEPAS hidup bersama hampir 20 tahun, pengarah terkenal, Ellie Suriaty sah bercerai dengan pelakon berpengalaman, Azri Iskandar dalam satu prosiding Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (Keramat), Kuala Lumpur pada pagi Rabu.
Menurut satu laporan, Ellie atau nama sebenarnya, Ellie Suriaty Omar telah melaporkan permohonan cerai ke atas suaminya, Azri, 54, sebelum Ramadan lalu.
Ellie yang pernah memenangi anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-26 menerusi filem Penanggal itu berkata, perceraian berlaku kerana tiada lagi keserasian antara mereka selepas hampir 20 tahun melayari bahtera perkahwinan bersama.
“Ini adalah suatu keputusan yang sukar untuk saya buat. Tetapi, saya sudah memikirkannya masak-masak dan akhirnya, ia perlu dilakukan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Azri untuk segala saat-saat indah, kenangan manis serta pengalaman hidup yang kami lalui bersama sebagai suami isteri,” ujarnya.
Ellie dan Azri berkahwin pada 2003 dan hasil perkongsian hidup hampir dua dekad, pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13.
Anak keduanya, Nur Aliah Omar Iskandar meninggal dunia selepas 15 minit dilahirkan, manakala anak keempatnya, Ahmad Muhammad Iskandar meninggal dunia dalam kandungan berusia lima bulan ketika penggambaran filem Penanggal. — Kosmo
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram