SEORANG gadis mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seorang lelaki ketika hadir ke satu majlis cosplay (peragaan kostum) yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.
Mangsa, Chin Pui Ting yang juga seorang content creator (pencipta kandungan) memberitahu, lelaki itu telah menjerit dan menangis untuk meminta bergambar dengannya ketika dia berada di majlis itu.
Status Pui Ting berkenaan kejadian tersebut dan pakaian yang dipakainya ketika hadir ke majlis cosplay itu.
"Lelaki itu juga telah mengekori saya sehingga ke kawasan meletak kenderaan semalam dan satu laporan polis telah dibuat berkenaan perkara itu," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Namun, dalam satu status terbaharu, Pui Ting memberitahu yang anggota polis turut menyalahkan dirinya ketika membuat laporan.
Ciapan Pui Ting berkenaan pengalamannya ketika membuat laporan polis berkaitan gangguan terhadap dirinya.
Menurut Pui Ting, seorang anggota polis mengatakan yang pakaian dan imej yang ditampilkan (berpakaian cosplay) menjadi punca gangguan tersebut berlaku.
"Inilah realiti yang dialami oleh saya dan mangsa-mangsa wanita yang lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) daerah sedang menyiasat dakwaan gadis berkenaan dengan tindakan anggota polis itu.
“Pada Selasa, kami mengesan satu posting di media sosial mengenai seorang wanita yang mendakwa dia tidak berpuas hati dengan cara dia dilayan ketika membuat laporan.
"Siasatan mendapati pengadu telah pergi ke balai polis Kelana Jaya, Selangor pada Isnin untuk membuat laporan tetapi tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan anggota polis bertugas ketika itu.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota terbabit. Kami akan memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada orang ramai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram