PELAKON dan pengacara, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa atas satu pertuduhan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara bulan lalu.
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Awal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu di Jalan PJU 3/30 pada pukul 11.30 pagi 16 April lalu.
Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Datuk M Reza Hassan memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga termasuk kedua ibu bapanya.
"Pendapatannya sebagai pengacara juga tidak konsisten," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, majistret Zhafran membenarkan Awal diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram