De Paula terpilih, tangan ghaib kembali beraksi?


  • Podium
  • Selasa, 17 Mei 2022

De Paula telah dipanggil semula ke skuad kebangsaan bagi kelayakan Piala Asia 2023. — Facebook FAM

KESEMUA tiga pemain natrualisasi negara telah disenaraikan oleh jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon bagi menyertai kem negara yang dijadualkan pada 19 Mei bagi mengharungi kelayakan Piala Asia 2023 Jun nanti.

Nama-nama tersebut adalah Liridion Krasniqi, Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh.

Namun pemilihan pemain Harimau Malaya dipersoalkan penyokong yang merasakan senarai 29 pemain dikeluarkan oleh Kim atau lebih dikenali sebagai KPG melibatkan beberapa tonggak pemain tempatan dan natrulisasi yang tidak dapat minit permainan secukupnya bersama pasukan masing-masing.

Nama Guilherme De Paula paling menjadi tumpuan peminat apabila pemain kelahiran Brazil itu tidak banyak beraksi bersama pasukannya iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim ini.

Minit Permainan

Komen orang ramai di Facebook tidak berpuas hati dengan pemain yang tiada minit permainan dapat mewakili skuad kebangsaan.

Selain itu juga, ada penyokong yang masih memberikan sokongan kepada De Paula dengan mengatakan jurulatih kebangsaan ada taktikal khusus yang ingin diterapkan pada perlawanan kali ini.

"Kenapa dengan De Paula? Skrip dan cerita pasti akan berubah andai kata kali ini dia bermain baik, jangan kacau kem pengurusan, mereka tahu apa nak buat," ujar Syam Hisham.

"Ada satu sebab kenapa De Paula dipanggil sebab Luqman tak ada, Luqman mungkin akan sertai Brad Maloney untuk AFC bawah 23 tahun," kata Hafizullah Zulfakar.

"De Paula boleh jadi 'target man' bagi pasukan Malaysia nanti, mungkin faktor ketinggian dan fizikal memainkan peranan untuk Kim Pan-gon panggil beliau sertai skuad kebangsaan," jelas Jamhur Aiman.

Sementara itu, Hafiz Hadi dalam komennya menyindir pemilihan tersebut mungkin ada kaitan dengan angkara tangan ghaib.

"Haha...melingkup...lingkup....angkara tangan ghaib ke ni," tulisnya.

"Tengok di Facebook FAM tiada pun senarai ni. Kalau betul, harap semua admin-admin page bola dah boleh buat tentangan hebat. Tangan ghaib dah mula buat kerja, pemain yang dah tak layak wakil Malaysia pun dia panggil?" tulis Kaza Waniey.

Seperti yang didakwa penyokong, tangan ghaib merujuk kepada pihak tertentu yang campur tangan dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk pemilihan pemain yang mewakili negara.

Bagaimanapun sehingga kini, identiti tangan ghaib masih misteri.

De Paula sebelum ini menjaringkan satu gol buat pasukan Malaysia semasa menentang pasukan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 di Dubai.

Pemain berusia 36 tahun itu menetap di Malaysia selama enam tahun dengan mewakili beberapa pasukan seperti Selangor, PDRM, KL City, Perak dan JDT bagi melayakkan dia bermain bersama pasukan kebangsaan.

Pasukan kebangsaan bakal mengharungi tiga perlawanan menetang pasukan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram