PENANG FC yang ingin menamatkan kemarau kekalahan berharap akan meraih kemenangan pertama bagi Liga Super 2022 apabila menentang Sabah FC di laman sendiri, Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Rabu malam.
Pasukan Harimau Kumbang yang tampil dengan jurulatih baharu dilihat lebih cemerlang selepas Manzoor Azwira Abdul Wahid berjaya membawa Penang FC layak ke pusingan suku akhir pada saingan Piala FA kerana menumpaskan Perak FC 4-1 ketika bertandang ke Stadium Ipoh.
Manzoor yang mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara skuad Harimau Kumbang selepas ditinggalkan ketua jurulatih, Tomas Trucha pada 30 April lalu, akui kemenangan itu sedikit sebanyak membawa sinar baharu kepada Penang FC bagi menghadapai skuad Sang Badak.
Manzoor (tengah) mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara skuad Harimau Kumbang selepas ditinggalkan ketua jurulatih, Tomas Trucha pada 30 April lalu.
Sehubungan dengan itu, penyokong Penang FC berharap percaturan baharu juga akan dimainkan oleh jurulatih 'bidan terjun' yang mana mereka menyeru agar pemain di bangku simpanan akan diturunkan pada perlawanan penting malam ini.
Antara nama-nama pemain yang penyokong ingin barisi kesebelasan utama Penang FC adalah Pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016, Mohd Faiz Subri, Syazwan Zaipol, Thivandaran Karnan dan bekas penyerang Sabah FC, Hamran Peter.
"Masa latihan baru nampak muka pemain-pemain yang langsung tidak pernah turun padang. Faiz Subri, Tham, Syazwan Zaipol, Thivandran, Hamran. Kalau dah tandatangan (beli) kenapa tidak mahu guna? Kalau tak cukup baik, kenapa tandatangan?" soal pemilik akaun, Tanixx Nick.
"Lawan dengan Sabah bawa turunlah pemain terkenal..banyak bangku simpanan simpan buat apa..perlu kemenangan ni... Bukan kekalahan.. kalah saja jemu nak tengok perlawanan.. ada menang juga baru penyokong semangat nak sokong," kata pengguna Facebook, Sharif Penang yang seakan berputus asa dengan dengan percaturan Penang FC.
"Kena tingkatkan latihan intensity tinggi. InshaaALLAH Penang FC berjaya," kata Muhammad Nor Za'im Zakariah.
Menurut penyokong, jurulatih seharusnya memberi peluang kepada pemain-pemain itu jika ingin berhadapan dengan Sabah FC kerana umum sedia maklum skuad Sang Badak itu dibarisi pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Amri Yahyah.
Sementara itu, pasukan Sabah FC berpeluang untuk kembali berada dalam kelompok tiga teratas Liga Super jika berjaya menewaskan Penang FC pada malam ini.
Pasukan di bawah kendalian, Datuk Ong Kim Swee mempamerkan prestasi memberansangkan sepanjang musim ini apabila berjaya meraih 12 mata dari enam perlawanan dan menghuni tangga keempat.
Manakala, pasukan Harimau Kumbang pula yang bergelut dengan masalah prestasi sepanjang Liga Super berada di kedudukan tercorot dan hanya mengumpul tiga mata selepas mengharungi tujuh perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram