Kilang logam disyaki cemar Sungai Skudai diarah henti operasi


  • Primer
  • Selasa, 17 Mei 2022

Kemunculan gugusan buih putih di Sungai Skudai dekat Taman Impian Emas, Johor Bahru, Johor menimbulkan keresahan penduduk.

SEBUAH kilang logam di Senai, Johor diarah menghentikan operasinya selepas disyaki mencemarkan Sungai Skudai, Johor.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor berkata, kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Senai III itu dipercayai membuang efluen ke dalam sungai semasa operasinya menyebabkan pembentukan gugusan buih putih tebal yang terapung di atas air.

Selepas kejadian itu, siasatan dan pemeriksaan dijalankan di sepanjang sungai berkenaan.

“Selain melaksanakan perintah henti operasi, kami juga mengeluarkan lapan kompaun berjumlah RM16,000 kepada kilang itu atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Efluen Industri) 2009.

"Kami akan terus menyiasat perkara itu dan memeriksa premis lain yang beroperasi di kawasan itu untuk menghentikan potensi pencemaran seperti ini daripada berulang," katanya dalam satu kenyataan.

Dilaporkan, kemunculan gugusan buih putih terapung di sungai baru-baru ini menimbulkan keresahan penduduk di kawasan itu.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sungai Safe Johor, Poh Pai Yik berkata, seorang penduduk memaklumkannya tentang perkara itu berhampiran Taman Impian Emas di Skudai.

“Saya melawat tempat kejadian keesokan harinya bersama Adun Skudai tetapi kebanyakan buih telah hanyut selepas hujan lebat sehingga saya tidak dapat mendapatkan sebarang sampel untuk dihantar kepada pihak berkuasa.

"Tiada ikan mati ditemui semasa pemerhatian saya di kawasan itu," katanya.

Pai Yik juga menambah bahawa dia memuat naik video itu di laman Facebooknya yang mana gugusan buih putih boleh dilihat terapung di atas air sungai berwarna coklat.

Menurutnya, sungai itu antara yang paling tercemar di negara ini.

Pencemaran di Sungai Skudai sebelum ini juga dilaporkan menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, yang merawat air mentah untuk penduduk di Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Kebudayaan Johor, K. Raven Kumar berkata, sampel air yang dikutip daripada LRA Sultan Ismail menunjukkan bacaan pH selamat 7 dan paras oksigen terlarut 4.95.

“Apabila saya melawat tapak dengan JAS, pihak pengurusan LRA memaklumkan kepada kami bahawa gugusan buih yang ditemui di sungai itu tidak menjejaskan operasi kemudahan itu,” katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang kes pencemaran kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected]. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram