Peneroka Felda bimbang, kurang pekerja punca kualiti kelapa sawit merudum


  • Massa
  • Rabu, 11 Mei 2022

Ada peneroka mengadu bahawa kekurangan pekerja telah menjejaskan kualiti buah kelapa sawit.

MALAYSIA tidak dapat mengambil kesempatan atas kenaikan harga minyak sawit mentah berikutan kekurangan tenaga buruh yang teruk, keluh peneroka Felda.

Ketua kampung Felda Ulu Tebrau, Abd Jalil Sahlan berkata, ia menjadi masalah berterusan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan akibat penularan wabak Covid-19 kira-kira dua tahun lalu.

Tambahnya, ramai pekerja asing telah mula mengemas beg mereka dan pulang ke negara masing-masing.

"Kami tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi sekarang kerana hanya terdapat segelintir buruh asing yang bekerja di ladang kelapa sawit, selain kenaikan kos baja yang menjadi isu kepada peneroka.

"Peneroka mengadu bahawa kekurangan pekerja telah menjejaskan kualiti buah kelapa sawit kerana mereka tidak dapat menuai tepat pada masanya, yang boleh menyebabkan ia rosak," katanya.

Menurut Ab Jalil, seorang pekerja ladang kelapa sawit menerima gaji bulanan antara RM1,800 dan RM2,000.

Katanya, walaupun menerima gaji bulanan, penduduk tempatan tidak suka bekerja di bawah terik matahari, sebaliknya memilih untuk bekerja di kilang.

"Terdapat perbincangan bahawa Felda ingin membawa masuk pekerja dari Bangladesh bagi menggantikan buruh Indonesia, tetapi ramai peneroka teragak-agak kerana bimbang akan timbul banyak isu termasuk komunikasi," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Mohd Fadzli Hasan mengakui meskipun perkara itu menjadi suatu masalah, ia bagaimanapun sedang ditangani secara proaktif dengan langkah baharu untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

Majlis itu telah memperkenalkan program untuk menarik minat belia dalam pekerjaan ladang seperti menuai, yang telah menarik kira-kira 3,000 peneroka Felda generasi ketiga di seluruh negara.

"Selain itu, kami menggunakan mesin untuk memudahkan peneroka menuai manakala dron penyembur racun perosak lebih pantas berbanding kaedah konvensional," katanya sambil menambah bahawa pada masa ini terdapat 22 belia Felda dilatih untuk memandu dron.

Menurut Mohd Fadzil, majlis itu juga sedang merancang untuk menubuhkan sebuah akademi bagi memberi peluang kepada anak muda Felda menjaga pokok kelapa sawit.

"Mereka perlu bermula dari bawah dan bekerja dengan cara tersendiri. Mereka perlu menjadi buruh terlebih dahulu sebelum menjadi pengurus ladang," katanya.

Beliau berkata, ini bukan langkah terakhir untuk menangani masalah kekurangan buruh, sebaliknya penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada asing.

Tambahnya, negara yang membekalkan tenaga pekerja juga membuat permintaan yang lebih tinggi terutamanya dari segi gaji.

"Dan jika kita mendapat pekerja dari Nepal atau Bangladesh, kita memerlukan lebih banyak masa untuk melatih mereka, berbanding buruh Indonesia yang sudah mempunyai pengetahuan asas bekerja di ladang," tambahnya.

Di Perak, pemilik ladang kelapa sawit seluas 2,000 hektar yang hanya dikenali sebagai Lim berkata, beliau hanya mempunyai 20 peratus tenaga kerja yang diperlukan untuk operasi penuh.

"Tiga tahun lalu, apabila saya mempunyai kira-kira 200 pekerja, kitaran penuaian adalah kira-kira 12.5 hari.

"Semasa awal PKP, saya berjaya memujuk ramai pekerja untuk kekal, tetapi tidak untuk tahun kedua. Kini, tanpa kedatangan pekerja baharu sejak dua tahun lalu, saya kini hanya mempunyai 32 pekerja yang kebanyakannya warga emas.

"Kitaran penuaian tidak lama lagi akan berlanjutan kepada 38 hari jika keadaan tidak bertambah baik.

"Saya sepatutnya menuai 33 tan setahun, tetapi tahun lepas kami hanya berjaya menuai 18 tan," katanya.

Lim berkata, ladangnya tidak dapat beroperasi dengan baik kerana kekurangan buruh yang telah menjejaskan segala-galanya, bermula daripada kerja penuaian hingga penyelenggaraan.

"Pada masa itu, ruang antara pokok dibersihkan dengan pekerja yang mencukupi menjalankan tugas masing-masing.

“Kini, kami terpaksa mengorbankan kerja merumput untuk membolehkan tenaga kerja yang ada sekarang menumpukan pada tugas penuaian dan pengeluaran. Ini menyebabkan ladang itu ditumbuhi semak samun, manakala pekerja tidak dapat mengutip buah kelapa sawit yang jatuh.

"Buah yang tidak dikutip mulai reput dan biji akhirnya tumbuh menjadi pokok muda di sekeliling yang matang, dan akhirnya kami menghabiskan lebih banyak masa untuk mencabutnya.

"Kami perlu menanggung semua kos tambahan dan kerugian akibat penuaian yang rendah adalah dua kali ganda bagi pemilik ladang seperti saya," kata Lim.

Beliau berharap kekurangan tenaga kerja akan diatasi oleh kerajaan sebelum mereka menanggung lebih banyak kerugian. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram