Pekerja J&T didakwa kena letak jawatan, HR siap bagi draf surat


  • Tular
  • Rabu, 16 Mac 2022

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan sekumpulan pekerja J&T dengan surat peletakan jawatan masing-masing. — TikTok

TULAR di media sosial rakaman video mendakwa sebahagian pekerja syarikat J&T Express (Malaysia) Sdn. Bhd. dikatakan diberi surat peletakan jawatan oleh bahagian sumber manusia (HR) syarikat terbabit dipercayai sebagai langkah pemberhentian pekerja secara beramai-ramai.

Dakwaan itu dibuat seorang pengguna Facebook menggunakan nama Puteri Nur Amirah Farisya di laman Facebook Kemalangan Jalan Raya Hari Ini 2022.

Menerusi hantaran statusnya, Puteri Nur Amirah Farisya mendakwa, HR J&T membuat draf surat peletakan jawatan untuk sebahagian kakitangannya sebagai cara mengelak daripada membayar pampasan kepada pekerja jika ada antara mereka yang membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"HR J&T draft kan surat peletakan jawatan untuk staf J&T ni supaya senang pihak J&T elak dari bayar pampasan kalau mereka buat aduan kepada (Jabatan) Buruh.

tangkap layar jnt

TANGKAP layar status Puteri Nur Amirah Farisya pada Rabu. — Facebook

"Mereka (pihak HR) akan beri alasan yang staf sendiri berhenti bukan disebabkan oleh masalah gaji dan komisen. Jadi mereka boleh selamatlah daripada kena bayaran pampasan kepada semua staf yang terkesan.

"Padahal J&T sendiri yang mahu staf mereka mana yang tak nak kerja boleh resign," tulisnya pada Rabu dengan memberi kredit kepada pengirim video asal, @hamzi_nang.

Rakaman itu dipercayai dikongsikan oleh salah seorang pekerja, Mohamad Hamzi yang terlebih dahulu memuat naik video tersebut di aplikasi TikTok.

Klip video itu turut menunjukkan Mohamad Hamzi memegang surat itu yang terpampang namanya beserta isi surat mengatakan dia meletak jawatan sebagai dispatcher berkuatkuasa 14 Mac 2022.

Dinyatakan bahawa, dia berbuat demikian kerana telah mendapat tawaran kerja lain.

Kejadian dipercayai berlaku di Seberang Jaya, Pulau Pinang berdasarkan alamat pada surat peletakan jawatan tersebut.

tangkap layar surat

TANGKAP layar isi surat peletakan jawatan yang didakwa dibuat oleh HR J&T. — TikTok

Menerusi rakaman sama, turut kelihatan sekumpulan pekerja berkumpul beramai-ramai sambil memegang surat seperti yang dipegang oleh Mohamad Hamzi.

Carian Majoriti di TikTok dengan memasukkan nama @hamzi_nang bagaimanapun tidak menemui video tersebut, dipercayai mungkin telah dipadam.

Majoriti juga berusaha mendapat pihak J&T dan Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram