WUJUD segelintir golongan pekerja didakwa tidak bertanggungjawab memalsukan keputusan ujian Covid-19 mereka demi tujuan untuk mengelakkan diri daripada hadir bekerja.
Justeru, beberapa pihak mendesak agar kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melakukan penambahbaikan kepada aplikasi MySejahtera bagi memeriksa penyalahgunaan seumpama itu.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, percaya terdapat kemungkinan prosedur pelaporan kendiri Covid-19 disalahgunakan adalah benar.
Sehubungan itu, adalah penting bagi majikan untuk mengingatkan pekerja mereka tentang akibatnya jika didapati bersalah melakukan penipuan.
"Majikan harus menguruskan pesalah di bawah tindakan tatatertibnya sendiri.
"Tindakan tegas harus dikenakan ke atas pesalah kerana penyalahgunaan seperti itu akan menjejaskan operasi syarikat dan mengelirukan pihak berkuasa yang sedang berusaha untuk menguruskan wabak berkenaan," tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Ding Hong Sing berkata, terdapat kes pekerja memalsukan keputusan Covid-19 tapi ia masih dalam skala terpencil.
"Banyak syarikat akan meminta pesakit Covid-19 menjalani ujian lain sama ada melalui syarikat atau klinik untuk mengesahkan keputusan," katanya.
Ujarnya lagi, pekerja hanya akan dibenarkan mengambil cuti sakit selepas keputusan ujian disahkan.
"Prosedur ketat diperlukan untuk memerangi masalah ini, memandangkan kemungkinan keputusan ujian orang lain boleh digunakan sebagai ganti untuk keputusan pekerja itu sendiri.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, tiada kes seumpama itu dilaporkan dalam kalangan anggotanya.
"Bagaimanapun, FMM masih belum menerima maklum balas daripada ahli berhubung maklumat palsu berkaitan Covid-19 iaitu keputusan palsu ujian RTK-Ag dan RT-PCR dalam tuntutan cuti kemasukan ke hospital oleh pekerja tetapi kebimbangan tentang tuntutan palsu berkemungkinan meningkat disebabkan ketiadaan sistem untuk membendung amalan tidak jujur oleh pekerja," menurutnya.
Oleh itu, katanya, sebelum amalan sedemikian menjadi tidak terkawal, langkah pencegahan mesti diambil untuk menghentikan sebarang kesan terhadap operasi, terutamanya dalam industri intensif buruh.
"Laporan jangkitan Covid-19 perlu diperketatkan lagi, terutamanya maklumat yang tidak dikemaskini oleh pihak berwajib.
"Ketika ini, apa yang tertera dalam MySejahtera adalah kemaskini oleh mereka yang disahkan positif Covid-19.
"Isunya di sini adalah tindakan selanjutnya seperti keperluan untuk kuarantin kendiri berikutan jangkitan yang memerlukan sedikit kejujuran dalam diri pekerja.
"Memandangkan sistem (MySejahtera) tidak memenuhi keperluan pengesahan maklumat kecuali imej ujian Covid-19 yang akan dimuat naik berdasarkan kit ujian kendiri RTK-Ag yang kini didakwa mencukupi, mungkin terdapat kecenderungan bagi sesiapa yang bertindak tidak jujur dan menuntut cuti sakit," jelasnya.
Tambahnya lagi, aplikasi MySejahtera perlu diubah suai untuk menyertakan ciri bagi pengamal perubatan mengesahkan status kesihatan atau keadaan pekerja yang mendakwa tidak dapat melaporkan diri untuk bekerja dan memerlukan kuarantin di rumah.
Ujarnya, FMM akan terus berhubung dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi menambah baik fungsi dalam aplikasi MySejahtera untuk menguruskan penyalahgunaan tersebut atau penyalahgunaan prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik.
"Pada masa sama, ahli akan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terhadap isu ini dan mengenakan hukuman terhadap mereka yang didapati menipu mengikut proses tatatertib syarikat.
"Sekiranya majikan mengesyaki pekerja mereka menggunakan taktik sedemikian, mereka harus menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tatatertib yang perlu," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram