MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada Rabu menjelaskan bahawa rakyat di negara ini tidak berminat melibatkan diri dalam pekerjaan 3D (kotor, berbahaya dan sukar).
Katanya, mereka lebih gemar menjadi penghantar makanan dan memperoleh pendapatan lebih tinggi, menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport ramai pekerja asing bagi mengisi kekosongan dalam bidang itu.
Namun, netizen meluahkan pendapat mereka di media sosial dengan menafikan kenyataan itu dan berkata, isu utama adalah disebabkan bayaran yang tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.
Majoriti mengatakan bahawa isu utama yang membuatkan rakyat negara ini tidak berminat untuk bergelumang dalam pekerjaan 3D adalah disebabkan bayaran terlalu rendah yang ditawarkan majikan.
Seorang pengguna Facebook, Zamir Yusof menyifatkan bahawa sikap majikan yang lebih memikirkan keuntungan merupakan salah satu punca isu ini berlarutan.
"Kita boleh menggunakan pekerja tempatan dengan bayaran bagi pekerjaan 3D adalah bagus, bos sanggup turunkan gaji dan tiada kenaikan kos kepada pengguna. Isu di sini adalah yang kedua.
"Bos terus menjadi kaya sedangkan mereka membayar 'ciput' kepada pekerja. Jika mereka menaikkan gaji, mereka akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna.
"Anda tidak boleh menyalahkan bos, itu adalah syarikat milik mereka, jadi mereka berhak untuk memikirkan untung yang tinggi. Tetapi dalam keadaan sekarang ini, siapa lagi yang harus dipersalahkan selain bos sendiri?" katanya.
Pekerja asing memonopoli pekerjaan 3D di negara ini.
Seorang lagi netizen, Kuan Hua Kow berkata, menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 tidak akan menyelesaikan masalah itu dengan serta-merta.
"Ya, kita semua tahu tentang isu ini dan pelbagai artikel telah diterbitkan. Saya rasa isu utama adalah mengapa kita masih membincangkan tentang perkara ini?
"Adakah dengan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 menyebabkan ramai yang berminat untuk menceburkan diri dalam pekerjaan 3D secara tiba-tiba?
"Saya suka idea penggunaan robotik, namun bagi saya ini adalah penyelesaian jangka masa panjang dan bukannya serta-merta," ujarnya.
Sementara itu, Christopher Ng pula mendakwa, terdapat banyak syarikat yang tidak mementingkan faktor kesihatan dan keselamatan pekerja.
"Gaji dan kenaikan yang rendah, faedah dan elaun yang rendah, serta tiada work life balance.
"Selain itu, majikan sukar untuk mengadaptasi penggunaan robotik dan automasi yang akan memacu rantaian nilai industri. Mereka lebih suka cara lama iaitu buruh murah.
"Dalam masa yang sama, mereka mengabaikan faktor Kesihatan & Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE). Jangan terkejut jika kebanyakan syarikat tidak mematuhi faktor ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang mereka dakwa mereka terapkan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram