PICKids tamat: Harga vaksin CoronaVac, Covilo kekal


  • Primer
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Bayaran akan dikenakan bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak selepas PICKids ditamatkan pada 15 Mei ini.

HARGA borong dan runcit maksimum bagi dua produk vaksin Covid-19 iaitu jenama CoronaVac keluaran Sinovac dan Covilo keluaran Sinopharm masih kekal dan belum ada sebarang pindaan.

Jurucakap bahagian farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membangkitkan perkara itu, susulan bayaran akan dikenakan bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) ditamatkan pada 15 Mei ini.

Selepas tarikh tersebut, vaksin yang diberikan adalah secara berbayar dan jenis vaksin yang diberikan ialah Sinovac.

"Setakat ini hanya CoronaVac yang mempunyai indikasi untuk penggunaan kanak-kanak berumur 5 tahun hingga kurang daripada 12 tahun.

"Bagi vaksin Comirnaty (Pfizer) formulari kanak-kanak, tiada di pasaran swasta kerana pihak pengeluar hanya membekalkan kepada kerajaan sahaja setakat ini," kata jurucakap tersebut kepada Majoriti.

Kerajaan pada Januari lalu menetapkan harga borong dan runcit maksimum bagi vaksin CoronaVac masing-masing ditetapkan RM62 dan RM77 setiap dos, manakala Covilo masing-masing pada RM49 dan RM61.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, penetapan harga itu dibuat dalam usaha mengelakkan vaksin Covid-19 dijual pada harga terlalu tinggi di pasaran.

Kata mereka, penguatkuasaan perintah yang berkuat kuasa pada 15 Januari itu mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.

"Harga runcit maksimum yang ditetapkan tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin Covid-19.

"Penentuan harga maksimum ini secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa.

"Senarai dan harga vaksin Covid-19 akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah baik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa," kata mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram