SEMUA pelajar diwajibkan ke sekolah mulai 1 Mei, selaras dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Rabu.
Guru, tanpa mengira status vaksinasi, juga mesti kembali ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, peraturan berhubung kehadiran pelajar adalah seperti sebelum pandemik bermula.
Ibu bapa perlu menyediakan surat penjelasan sekiranya anak mereka tidak dapat hadir ke sekolah.
"Kami akan buka semula sektor pendidikan sebaik mungkin sambil memastikan pelajar selamat," katanya pada Khamis.
Radzi juga berkata, pelajar digalakkan memakai pakaian seragam mereka di sekolah.
"Pakaian seragam akan diwajibkan mulai 12 Jun," ujarnya.
Semua murid bakal kembali ke sekolah mulai 1 Mei.
Tambah Radzi, langkah-langkah penjarakan fizikal di dalam kelas juga akan dimansuhkan.
Namun, beliau berkata, para guru mesti memastikan pelajar memakai pelitup muka setiap kali berada dalam kelas.
Walaupun pelitup muka hanya diwajibkan ketika berada dalam kawasan tertutup, namun penggunaannya juga digalakkan dalam kawasan terbuka.
Beliau juga berkata, beberapa pengecualian turut dilaksanakan termasuk guru tidak perlu memakai pelitup muka ketika mengajar dalam kelas.
Selain itu, kemasukan pelajar Tingkatan Satu dan Empat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan bermula antara 13 hingga 16 Mei ini di mana kelonggaran daripada segi outing dan pulang bermalam dibenarkan susulan kelonggaran SOP ini.
Panduan itu dijalankan dengan merangkumi SOP terkini Kementerian Kesihatan (KKM) diumumkan oleh Khairy. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram