PENGUMUMAN untuk melonggarkan protokol kawalan Covid-19 mendapat respons daripada orang ramai, yang sudah semestinya mereka tidak lagi perlu terlalu terikat dengan peraturan yang dilaksanakan selama dua tahun itu.
Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin antara lain mengumumkan bahawa kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Selain itu, individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis adalah individu positif Covid-19 walaupun status vaksinasi lengkap serta individu dalam tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia.
Khairy juga mengumumkan bahawa, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk eHailing.
Pemakaian pelitup muka di luar bangunan (outdoor) dan kawasan terbuka adalah atas pilihan (optional), tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.
Malah, mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.
Katanya lagi, imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam, digalak mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
Semua protokol baharu itu akan muka dikuat kuasa pada 1 Mei ini.
Meskipun bersyukur dengan pengumuman itu, Dr Zubaidi Ahmad tidak menolak kemungkinan ia dilakukan berikutan Pilihan Raya Umum (PRU) bakal diadakan tidak lama lagi.
"Biasalah bagi gula-gula pilihanraya," kata pengamal perubatan am itu dalam hantaran di laman Facebook.
Tangkap layar hantaran Dr Zubaidi di laman Facebook.
PRU15 dijangka diadakan pada atau sebelum 16 September 2023 bagi memilih anggota Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia ke-15.
Mengulas lanjut, Dr Zubaidi berkata, sebelum ini kemasukannya ke restoran, pusat beli-belah dan pejabat kerajaan tidak perlu menunjukkan MySejahtera, cuma adakalanya pengawal keselamatan berkeras untuk melihat aplikasi tersebut.
"Sekarang alhamdulillah sudah makin longgar. Mask (pelitup muka) dah tak perlu, MySejahtera pun tak perlu.
"Korang (anda) yang suntik dua dos (vaksin), tahap antibodi dah expired (tamat tempoh) dalam badan. Baik saya lagi yang dua bulan lepas kena cobid (Covid-19). Masih ada natural immunity. Jangan terus percaya. Periksa sumber dulu," katanya berseloroh.
Suhaimi Saad antara individu menolak suntikan vaksin Covid-19 sebelum ini.
Turut bersyukur dengan pengumuman itu, bekas penyanyi nasyid, Mohd Suhaimi Saad mengakui beliau sekeluarga tidak pernah berasa susah atau ketat selama protokol Covid-19 dilaksanakan bermula tahun 2020.
"Bila kita jaga ALLAH, ALLAH akan jaga dan mudahkan urusan kita. Insya-ALLAH.
"Jangan pernah jadikan makhluk sebagai tuhan," katanya yang enggan mengulas panjang ketika bulan Ramadan.
Suhaimi Saad sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi kerana pendiriannya sebagagi anti vaksin dan pernah membuang ubat hospital. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram