SEORANG doktor yang dikaitkan dengan kumpulan antivaksin Healing The Divide didakwa menerima bayaran sebanyak RM4,600 untuk memberi suntikan vaksin palsu.
Doktor dari Singapura itu, Jipson Quah menerima bayaran dengan nilai antara 15 ke 30 kali ganda lebih tinggi berbanding harga dos sebenar.
Disebabkan itu juga, Quah telah digantung selama 18 bulan oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC).
Quah dikatakan memberi suntikan larutan garam dan bukannya vaksin COVID-19 kepada pesakit serta memuat naik status vaksinasi palsu kepada Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).
Jawatankuasa Perintah Sementara (IOC) SMC menjelaskan bagaimana Quah didakwa dibayar antara RM3,500 dengan RM4,600 oleh tiga pesakit antivaksin untuk menggunakan suntikan larutan garam sebagai vaksin Covid-19.
Dia kemudian memuat naik status vaksin palsu mereka ke dalam pangkalan data pemerintah.
Quah didakwa berbuat demikian terhadap 15 pesakit, kata IOC, sambil menambah bahawa kebanyakan klinik akan mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM300 sahaja bagi setiap satu dos.
Selain itu, Quah juga dituduh terbabit dalam membuat akaun pesakit palsu dan memuat naik keputusan palsu ujian pantas antigen (ART) Covid-19 ke dalam portal MOH bagi seorang pesakit yang tidak divaksin.
Dia juga dituduh membantu memuat naik keputusan ujian praacara (PET), yang diperolehi melalui ujian yang tidak dijalankan dalam masa sebenar.
Sementara itu, pengasas Healing The Divide, Iris Koh juga berhadapan dua pertuduhan iaitu bersubahan dengan Quah dan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram