PELBAGAI aduan yang diberikan oleh orang awam mengenai suntikan dos penggalak dan hasil semakan Majoriti di media sosial sebelum ini mendapati ada yang mengadu tangan lenguh, demam serta badan menggigil.
Malah, pada awal tahun ini, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin secara terbuka membangkitkan isu kesan dos penggalak selepas bapanya dikatakan muntah-muntah selepas menerima suntikan dos vaksin Covid-19 yang ketiga.
Mohd Asri (kanan) menziarahi bapanya di hospital pada awal tahun 2022 selepas keadaan warga emas itu menjadi lebih teruk setelah menerima dos penggalak.
Terbaharu, seorang pengguna Twitter, qwisticha mendakwa datuknya dipaksa mengambil dos penggalak oleh doktor di Klinik Kesihatan Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak.
"Saya harap benda ini tular, kasihan atok (datuk). Dia pergi ke klinik kesihatan di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak untuk pemeriksaan biasa. Anda tahu pemeriksaan biasa untuk orang tua. Kemudian doktor di sana bertanya kepadanya soalan 'Dah ambil booster ke belum?". Atok saya jawab tidak.
"Kemudian tanpa bertanya apa-apa lagi, dia paksa atok saya untuk mengambil booster. Tanpa sebarang dokumentasi dan rekod. Persetujuan mana? Atok saya pergi sana buat pemeriksaan selepas itu, tiba-tiba kena paksa cucuk booster," katanya.
Tangkap layar bebenang wanita itu di laman Twitter berhubung insiden yang terjadi terhadap datuknya.
Pengguna Twitter itu meluahkan rasa bengang kerana doktor di klinik itu tidak mengambil inisiatif untuk bertanya soalan-soalan penting seperti jenis vaksin yang pernah dperolehi oleh warga emas itu sebelum ini.
Baginya, penerangan kepada pesakit mengenai perkata penting seperti itu adalah perlu untuk mengelak sebarang komplikasi berlaku dan seorang doktor juga perlu meminta izin kepada waris sebelum memutuskan sesuatu.
Menurutnya, sejurus sahaja pulang ke rumah, warga emas itu terus berasa gatal-gatal dan tompok kemerahan turut muncul di permukaan badannya.
"Bukan kata ambil booster tu benda tak elok, tapi masalahnya doktor tidak tanya apa-apa soalan penting seperti 'vaccine apa ambil sebelum ni' dan macam-macam lagi. Dia dah la pergi klinik kesihatan tu sendiri.
"Pulang ke rumah, dia berasa gatal dan nanah mula muncul pada kulitnya. Sakit gila sampai makcik cakap kat mak saya yang atok tak boleh pakai baju seperti biasa. Tengok gambar, nanah siap berair lagi.
"Saya marah sangat sebab atok orang tua, dia tidak tahu benda macam tu. Doktor harus bertanya dan menjelaskan semua perkara penting kepadanya tetapi mereka tidak terfikir untuk berbuat demikian. Saya betul-betul marah," ujarnya.
Sehubungan dengan itu, terdapat juga beberapa warganet yang berkongsi masalah yang sama seperti datuk pengguna Twitter itu iaitu tompok merah muncul di permukaan badan selepas mengambil dos penggalak.
Klinik kesihatan tersebut ketika dihubungi Majoriti enggan mengulas perkara tersebut dan menyerahkannya kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.
Majoriti kini cuba menghubung JKN Perak dan pemilik Twiiter itu untuk mengulas lanjut isu itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram