Padah belasah kawan, 13 pelajar sekolah di Langkawi kena cekup


  • 112
  • Khamis, 28 Apr 2022

Tangkap layar insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar di Langkawi pada Rabu. — Facebook

POLIS menahan seramai 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi, Kedah pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asistan Komisioner Shariman Ashari berkata, seramai 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari Khamis manakala seorang lagi ditahan pukul 3 petang.

"Daripada jumlah kesemua pelajar yang ditahan, lima daripada mereka merupakan rakan sekelas kepada mangsa manakala baki yang lain dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Majoriti melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

Kejadian yang berlaku pada pukul 9 pagi Rabu itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pagi Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram