Tular visual pelajar lelaki ditendang, ditumbuk rakan sekelas, polis Langkawi mula siasat


  • 112
  • Khamis, 28 Apr 2022

Tangkap layar video pergaduhan yang tular di media sosial pada Khamis. — Facebook

KLIP video menunjukkan seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun di Langkawi, Kedah yang diserang oleh rakan sekelasnya, tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, video yang tular pada Khamis itu, menunjukkan mangsa ditendang dan ditumbuk oleh beberapa rakan sekelasnya di dalam sebuah bilik darjah.

"Polis menerima laporan polis yang dibuat mangsa awal pagi Khamis," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Shariman, siasatan lanjut mendapati kejadian terbabit berlaku pada Rabu, kira-kira pukul 9 pagi di salah sebuah bilik darjah di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, punca kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pelajar.

Ujar Shariman, suspek sudah dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Dalam video klip berdurasi 25 saat itu, mangsa dilihat bertengkar dengan salah seorang pelajar sebelum diserang pelajar lain menyebabkan dia terjatuh.

Suspek kemudian menumbuk dan menendang mangsa ketika dia terbaring.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram