SERAMAI tiga remaja lelaki maut manakala seorang lagi parah dipercayai berlumba sesama sendiri membabitkan tiga motosikal sehingga kemalangan di Jalan Delima, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Mohd Sohaimi Ishak, ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia berumur lingkungan 15 hingga 16 tahun manakala yang cedera parah berumur 17 tahun.
"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam dipercayai ketika kesemua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal bersaing sesama sendiri sehingga bergesel dan berlaku kemalangan.
"Akibat daripada insiden tersebut, tiga mangsa tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di batu berumput bahu kanan jalan," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, katanya orang ramai terutamanya ibu bapa dinasihati agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutamanya yang masih di bawah umur supaya tidak membenarkan mereka menunggang motosikal dan tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram