Preve hitam buat aksi 'berani mati' di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson


  • Tular
  • Khamis, 21 Apr 2022

Tangkap layar rakaman kejadian lawan arus di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson pada Khamis. — Facebook

KEJADIAN kenderaan melawan arus di lebuh raya semakin menjadi-jadi di negara ini.

Tindakan berbahaya segelintir individu tidak bertanggungjawab itu, mengundang risiko kemalangan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Pada Khamis, satu lagi kejadian melawan arus dirakam di laluan Lebuh Raya dari Seremban menghala ke Port Dickson.

Video berdurasi 20 saat itu menunjukkan sebuah kenderaan berjenama Proton Preve melawan arus sambil menghidupkan isyarat kecemasan kereta tersebut.

Menjengah ruangan komen di media sosial, rata-rata warganet berang dengan tindakan individu terbabit.

"Kalau kecemasan, mana boleh patah balik macam ini, pusing semula di susur keluar seterusnya, rancang perjalanan anda," kata pengguna Facebook, Samsul Nazri.

"Ada saja perangai macam ini. Gantung lesen seumur hidup saja," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Norhisam Ramli.

Majoriti sedang mendapatkan komen daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram