Belasah pemandu X70, Polis sudah kenal pasti identiti pemandu Ferrari


  • 112
  • Rabu, 20 Apr 2022

IPD Dang Wangi mengesahkan sedang menyiasat kes pergaduhan itu yang tular di media sosial.

POLIS sedang menyiasat laporan pergaduhan melibatkan dua pemandu yang sebelum itu terlibat dengan satu kemalangan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa.

Terdahulu, tular di media sosial berkaitan dengan laporan polis oleh seorang pemandu, Aqil Danish Azman yang mendakwa dirinya dipukul dalam insiden kemalangan itu.

Menurut laporan polis yang dibuat pengadu, Aqil Danish, ketika itu dia sedang memandu kereta Proton jenis X70 bersama seorang lagi rakan wanitanya kira-kira pukul 12.40 tengah malam.

Dia mendakwa, kejadian berlaku ketika dia memberhentikan kenderaannya di lampu isyarat sebelum sebuah kereta Ferrari di hadapannya mula bergerak ke belakang.

Dakwanya lagi, dia telah membunyikan hon kereta tetapi kenderaan itu terus bergerak ke belakang sehingga melanggar keretanya sebelum memecut ke arah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Ferrari itu kemudian terperangkap dalam kesesakan trafik di Jalan Raya Abdullah.

Pengadu kemudian bertemu dengan pemandu Ferrari itu yang kemudian tidak mengaku bahawa keretanya terlibat dengan kemalangan itu.

Pengadu itu juga mendakwa pemandu Ferrari itu kemudian mengugutnya, merampas telefon bimbitnya dan melemparkannya sebelum mencekik dan menumbuknya sehingga dia jatuh ke tanah.

Mangsa juga mendakwa pemandu Ferrari itu terus menyerangnya ketika dia terbaring di atas tanah.

Dia mendakwa lelaki itu juga menyerang teman wanitanya dan cuba merampas telefonnya ketika dia cuba mengambil gambar Ferrari sebagai bukti.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan kes itu.

“Kami menerima perintah untuk menyiasat daripada timbalan pendakwa raya dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mendatangkan kecederaan.

“Polis sedang mengambil tindakan lanjut,” katanya sambil menambah butiran suspek telah diperoleh untuk membantu siasatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram