Laungan 'Allahuakbar' sebelum melanggar sekumpulan lembu di Kota Tinggi


  • Tular
  • Khamis, 21 Apr 2022

Tangkap layar rakaman pemandu itu melanggar sekumpulan lembu di Jalan Kilang Felda Sening, Kota Tinggi.

'PEMILIK lembu mana?' antara persoalan-persoalan dilontarkan pada sebuah video tular yang menunjukkan seorang pemandu mengalami detik cemas apabila kenderaan yang dinaikinya melanggar sekumpulan lembu berkeliaran di tengah jalan raya.

Kejadian yang berlaku kira-kira 2.00 pagi pada Rabu itu didakwa terjadi di Jalan Kilang Felda Sening, Kota Tinggi, Johor dan video tersebut menunjukkan keretanya merempuh sekumpulan haiwan berkenaan tanpa sempat mengelak.

Video kemalangan tersebut yang berdurasi 34 saat turut tular di media sosial Facebook Dashcam Owner Malaysia dengan memaparkan rakaman pemandu yang melaungkan ‘Allahuakbar’ sebelum melanggar sekumpulan lembu tersebut.

Rakaman detik-detik pemandu itu melanggar sekumpulan lembu di Kota Tinggi.

Rentetan video tular itu, rata-rata warganet meluahkan rasa bengang dengan pemilik lembu di negara kerana insiden seperti video tular itu sering sahaja berlaku kepada pengguna jalan raya sehingga ada yang maut terlanggar lembu.

"Tuan lembu buat aniaya pada orang lain. Nak bela lembu tapi tak tahu nak jaga betul-betul sampai lembu-lembu berkumpul tengah-tengah highway," kata pengguna Facebook, Fareez Aiman.

"Panggil lori, ambil lembu tu semua. Jual. Tuan punya dah tidak akan claim lembu tu dah pasal dah menyebabkan kemalangan," ujar Brown Berry.

"Panggil lori angkat semua lembu itu..jual untuk kos repair kereta..kalau pemilik tuntut..video itu ada sebagai bukti," kata, Awe Mee Celup.

Kes pengguna jalan raya melanggar haiwan ternakan di lebuh raya atau jalan biasa bukan perkara asing di negara ini.

Ada sesetengah kes mengorbankan nyawa pengguna terutamanya penunggang motosikal apabila berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya.

Pada 21 Mac lalu, dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) nyaris maut apabila melanggar seekor lembu yang secara tiba-tiba melintas di Kilometer 249.7 Lebuh Raya Utara- Selatan arah Utara di Seremban, Negeri Sembilan.

Insiden tersebut sempat dirakamkan menggunakan kamera papan pemuka kenderaan yang dinaiki mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram