SEORANG peniaga terpaksa berputih mata apabila menanggung kerugian kira-kira RM12,100 ketika melakukan urusan jual beli dengan sebuah syarikat pelaburan emas di Kuantan, Pahang pada tahun lalu.
Seri Andani Malaya Khairul Saleh berkata, syarikat terbabit dengan singkatan nama EGV telah menawarkan pakej pelaburan emas bermula RM900 hingga RM12,100.
Justeru, dia mengambil keputusan untuk menyertai pakej bernilai RM12,100 dengan membuka dua akaun.
Menurut perjanjian, katanya, emas yang dibeli sebanyak 80 gram (g) itu bakal diterima secara berperingkat selepas tujuh hari pembayaran dilakukan.
"Untuk pembahagian pertama, saya akan terima 20g selama tiga bulan iaitu hari ketujuh terima 20g, hari ke-30 lagi 20g dan hari ke-60 bakal terima lagi 20g dan seterusnya hari ke-90 saya akan terima 20g juga.
"Tetapi, saya hanya terima (emas) pada hari ketujuh sahaja iaitu 20g. Saya buka dua akaun, jadi jumlah yang saya terima 40g sahaja," katanya kepada Majoriti.
Janji hanya tinggal janji, dia yang sepatutnya menerima penghantaran emas pada akhir Disember lalu tidak menjadi kenyataan, apabila syarikat tersebut menangguhkannya hingga ke Januari tahun ini atas alasan banjir.
"Sehingga Februari masih tidak dapat dan bu pejabat syarikat itu kemudiannya mengeluarkan memo mengatakan mereka tidak mampu menampung perbelanjaan untuk pembelian emas daripada kilang.
"Syarikat itu juga mengatakan akan refund (pulangkan semula) duit kami semua berperingkat bermula 1 Februari sehingga Jun tapi sampai sekarang tiada apa-apa yang kami terima," katanya.
Ramai lagi mangsa terjebak
Dalam kes berasingan, seorang ejen yang terbabit dengan pakej pelaburan emas dengan syarikat sama berkata, pada mulanya dia hanya menyertai pakej berharga RM900 sebagai permulaan.
Selepas menerima emas tepat pada masanya, Nurul Hafizah Abdullah yang menaruh kepercayaan kepada syarikat tersebut terus menyertai pakej bernilai RM12,000.
Menurut perjanjian, dia akan menerima emas seberat 20g selepas 30 hari, 60 hari dan 90 hari pembayaran.
Bagai menunggu laut kering, dia bagaimanapun hanya menerima emas yang dijanjikan hanya pada 30 hari dan 60 hari selepas pembayaran dibuat.
"Tapi lepas bulan 12, banyak alasan yang diberi termasuk banjir dan tiada stok (emas). Sepatutnya dapat lagi 20g pada bulan Januari lalu.
"Ikutkan dalam syarat dia tu, saya dapat barang sebanyak 80g dalam masa 90 hari, lain pula jadinya apabila saya hanya dapat 60g dalam masa 60 hari," katanya yang kerugian sebanyak RM4,300.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila terdapat 11 orang yang melanggan emas di bawah syarikatnya menerusi pakej yang berbeza.
Nurul Hafizah berkata, ada di antara pelanggannya yang hanya memperoleh penghantaran pertama, malah ada yang langsung tidak menerima penghantaran pakej emas yang disertai mereka.
Namun, dia sama sekali tidak memegang wang pembayaran oleh pelanggannya, sebaliknya semuanya diserahkan pada akaun syarikat tersebut.
"Mereka yang join (menyertai) bawah saya tu mahu tuntut duit mereka dengan saya.
"Sebab itu saya buat laporan polis untuk cover diri saya dan tuntutan daripada pihak syarikat tersebut," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Pekan, dekat Pekan, Pahang.
Jelasnya lagi, pihak polis sudah pun menghantar laporannya kepada Mahkamah Majistret Pekan, manakala pihak mahkamah menasihatinya supaya meminta mangsa lain untuk turut serta membuat laporan polis.
Ketika ditanya, dia hanya membayar sebanyak RM20 bagi kes mahkamah itu disebabkan jumlah kerugian yang dialami kurang daripada RM5,000.
"Tapi sekarang ni saya tak follow up lagi dengan mahkamah. Saya memang nak dapatkan semula (wang) sebab ikut perjanjian sampai 90 hari kan.
"Saya nak tuntut hak saya dan orang yang join bawah saya.
"Saya ada WhatsApp dia (suspek) tapi dia tak reply (balas). Kawan-kawan saya nak guna duit sebab nak dekat raya tapi saya yakin niat dia memang nak bawa lari duit," katanya.
Baru-baru ini heboh di media sosial mengenai sepasang suami isteri yang menipu dalam urusniaga emas dan kini dikatakan sedang bersembunyi di Kelantan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya sedang mengkaji semua laporan yang diterima itu.
"Saya akan keluarkan kenyataan media nanti," katanya ringkas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram