Jangan percaya taktik scammer panggilan palsu — TH


  • Massa
  • Rabu, 13 Apr 2022

TH menasihatkan pendeposit supaya berhati-hati dengan taktik scammer menerusi panggilan telefon.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menasihatkan pendepositnya agar tidak mudah percaya taktik panggilan telefon membabitkan transaksi pemindahan wang.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamad Ameen Abdul Wahab berkata pihaknya tidak pernah menghubungi pendeposit bagi sebarang urusan transaksi pemindahan wang.

"TH menasihatkan pendeposit supaya berhati-hati dengan taktik 'scammer', termasuk panggilan telefon berkaitan pemindahan wang.

"TH mengambil maklum kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan taktik baharu sindiket 'Macau Scam' membabitkan pengeluaran wang daripada akaun pendeposit TH yang dihubungkan dengan akaun bank konvensional.

"Pengeluaran tunai hanya boleh dilakukan di kaunter TH melalui pengesahan identiti, manakala perbankan internet dikawal dengan kata laluan dan kod kebenaran transaksi (TAC), malah pengeluaran melalui mesin juruwang automatik (ATM) bank rakan strategik TH dikawal dengan nombor indeks pos (PIN)," katanya.

Mohamad Ameen berkata, pendeposit juga boleh mengehadkan jumlah pemindahan harian melalui perbankan internet rakan strategik TH.

"Pendeposit boleh membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi Tabung Haji Online (THiJARI)," tambahnya.

Menurutnya, pengeluaran tunai daripada akaun TH tidak boleh dilakukan melalui platform THiJARI dan peraturan pengeluaran atau pemindahan wang tidak boleh dilakukan melalui panggilan telefon.

"Arahan pemindahan telegrafik di kaunter hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun sendiri sahaja. Oleh itu, wang di dalam TH sememangnya selamat," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan Pusat Panggilan TH di talian 03-62071919. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram