Ditipu kononnya tak bayar cukai, guru rugi lebih RM250,000


  • 112
  • Ahad, 03 Apr 2022

MANGSA diarahkan untuk memindahkan RM254,600 'atas alasan keselamatan' kepada enam akaun bank. — The Star

AKIBAT percaya namanya disalahgunakan, seorang guru berusia 30-an dari Sipitang, Sabah kerugian lebih RM254,000 selepas terpedaya dengan penipuan Macau Scam baru-baru ini.

Penipuan itu bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa dirinya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan mengatakan bahawa mangsa mempunyai lebih RM38,500 cukai tertunggak yang belum dibayar.

Pemanggil itu mendakwa bahawa, cukai yang tidak dibayar itu adalah untuk sebuah syarikat yang didaftarkan di bawah namanya, sebelum menghubungkan mangsa dengan seseorang yang mendakwa dirinya sebagai sarjan polis dari Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sipitang, Superitendan Champin Piuh berkata, suspek turut memberitahu mangsa bahawa terdapat akaun bank dikaitkan dengan dirinya, yang dikaitkan dengan wang haram berjumlah RM312,000.

"Pemanggil meminta maklumat peribadi dan butiran perbankan mangsa untuk disiasat di bawah undang-undang antipengubahan wang haram," katanya.

Tambahnya, mangsa diarahkan untuk memindahkan RM254,600 'atas alasan keselamatan' pada 14 dan 26 Mac kepada enam akaun bank yang disediakan oleh pemanggil.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada 30 Mac lalu dan segera membuat laporan polis.

"Dia takut dokumen yang diberikan kepada suspek akan disalahgunakan," katanya.

Katanya, ini adalah kes ketiga seumpamanya dilaporkan di daerah itu pada tahun ini, yang mana terdapat kes sebelum ini melibatkan pegawai pendidikan dan pegawai kesihatan.

Kes itu disiasat kerana menipu, tambahnya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan yang mencurigakan selain menyemak semula dengan pihak berkuasa jika mereka mempunyai sebarang keraguan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram