Audit pusat jagaan kanak-kanak, tutup yang tidak berdaftar arah TMJ


  • Primer
  • Selasa, 19 Apr 2022

Tunku Ismail (tengah) bergambar bersama delegasi kerajaan dan UNICEFF pada Selasa. — Facebook

UNDANG-UNDANG semasa bagi Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dipinda segera bagi memastikan kes penderaan mangsa sindrom down dikenali sebagai Bella tidak lagi berulang, kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Mahkota Johor itu berkata, penambahbaikan itu haruslah merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.

"Ini adalah bagi memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titahnya menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebook rasminya pada Selasa.

Difahamkan, cadangan berkenaan adalah buah fikiran baginda selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Wakil Pertubuhan Antarabangsa UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex di Royal Johor Club di Johor Bahru, Johor, pada Selasa.

Menerusi pertemuan itu, Tunku Ismail juga turut mencadangkan dua lagi saranan yang sesuai bagi meningkatkan lagi tahap kawalan bagi melindungi kanak-kanak yang berada di rumah lindungan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram bermula di Johor serta-merta.

"Tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram," katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail turut mencadangkan agar kerajaan segera membuat kajian mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak yang mana boleh bermula di pusat-pusat jagaan kanak-kanak di Negeri Johor.

"Kajian ini harus bersama-sama dengan garis panduan daripada UNICEF atau institusi-institusi bebas lain dan kajian tersebut didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksanakan dengan segera," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga ingin menegaskan bahawa kebajikan kanak-kanak, terutamanya yang berada di rumah perlindungan hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga dengan baik.

Sebelum ini, kes penderaan melibatkan remaja kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Bella itu mulai mendapat perhatian awam sejak awal bulan lalu.

Lantaran itu, Tunku Ismail yang peka dengan keadaan menimpa mangsa berkenaan turut menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) di mahkamah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram