Isu Bella: TMJ jumpa Rina Harun esok


  • Massa
  • Isnin, 18 Apr 2022

Tunku Ismail akan dengar taklimat daripada KPWKM pada Selasa.

KES penderaan remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, mendapat perhatian ramai.

Malahan, isteri Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam menyatakan kesudian untuk membantu Bella mendapatkan keadilan sewajarnya.

Susulan itu, Tunku Ismail pada Sabtu, memaklumkan pihaknya sudah berhubung dan berbincang dengan para peguamnya tentang kes penderaan Bella.

"Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap orang kena tuduh (OKT) dalam kes tersebut.

"Kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam dan peguam bela yang dilantik untuk mewakili OKT.

"Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak kementerian untuk kes ini," ujar Tunku Ismail menerusi ciapan di Twitter.

Rina dalam satu kenyataan balas pada Ahad, mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana sudi menghulurkan bantuan sedemikian.

Rina juga sudi bekerjasama dengan TMJ bagi menyelesaikan isu berkaitan Bella.

Dalam pada itu, Tunku Ismail menerusi ciapan di Twitter pada Isnin memaklumkan akan berjumpa dengan Rina pada Selasa.

"Esok (Selasa), saya akan berjumpa dengan Rina untuk membincangkan isu kes Bella dan mendapatkan taklimat terkini tentang langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPWKM) untuk memastikan kes sebegini tidak akan berlaku lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram