Tertarik langsir punca Siti Bainun 'naik hantu', Bella dibogel sebelum disimbah air panas


Siti Bainun (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

KEJADIAN tertarik langsir sehingga besi penggantungnya tercabut menjadi punca pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mula ‘naik hantu’ dan bertindak memukul serta memarahi remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Yasmin Nahar Mahmood, 19, penghuni Rumah Bonda, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bahawa Siti Bainun mula mendera remaja itu secara fizikal pada Mac 2021.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Asiah Abdul Jalil yang mewakili Siti Bainun, saksi pendakwaan kelima itu berkata, susulan kejadian tertarik langsir itu, Bella diberi layanan berbeza oleh tertuduh yang dipanggil 'bonda' oleh remaja itu.

Asiah: Pada bulan Mac, apa yang berlaku sehingga menyebabkan Siti Bainun tak suka pada Bella?

Yasmin: Bella masuk bilik kedua, dia tertarik langsir sampai putus, bila Siti Bainun tahu, dia marah dan pukul Bella.

Asiah: Bilik siapa?

Yasmin: Bilik tidur saya dan adik-adik saya yang lain.

Ditanya peguam itu selepas kejadian tersebut, adakah Bella terus didera dengan air panas, Yasmin berkata: "Didera tetapi belum disimbah air panas”.

Yasmin juga mengekalkan keterangannya sebelum ini bahawa Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.

Selain itu, Yasmin turut mengekalkan keterangannya sebelum ini bahawa Bella akan dibogelkan, diikat dan dibaringkan sebelum dicurahkan air panas berwap daripada mesin air pada bahagian tertentu badan remaja itu.

Asiah: Jika Bella dibogelkan sebelum dicurah air panas, kenapa bahagian punggung tidak kena?

Yasmin: Sebab masa itu, Bella pakai pampers (lampin pakai buang).

Screenshot 2022-04-15 185722

Seorang kanak-kanak memegang kertas menyatakan sokongan terhadap Bella pada 1 April lalu. — Bernama

Semasa ditunjukkan gambar kecederaan pada badan Bella, Yasmin menyatakan parut yang jelas kelihatan adalah di paha kanan, pergelangan kaki dan lutut akibat kesan dipijak.

Yasmin turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kejadian dera itu berlaku di bahagian bilik dobi, ruang tamu dan tandas di rumah tersebut, namun saksi itu tidak mengetahui motif Bella didera.

Kepada soalan lain, Yasmin memberitahu beliau tidak pasti sama ada jiran di kondominum (tempat Bella tinggal) mendengar atau melihat remaja itu didera antara Mac hingga Jun 2021.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa jika pintu gelongsor di ruang tamu dibuka, sesiapa sahaja boleh mendengar jeritan kanak-kanak menangis atau muzik daripada jiran-jiran sekeliling.

Dalam pada itu, mahkamah pada Jumaat turut ditunjukkan beberapa rakaman video yang memaparkan layanan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap penghuninya yang didakwa layanan seperti ‘hamba abdi’.

Antara rakaman tersebut adalah sambutan hari lahir Yasmin yang ketika itu penghuni di rumah tersebut, video Yasmin bercuti bersama Siti Bainun di sebuah hotel dan sambutan Hari Raya.

Pada prosiding terdahulu, Yasmin, saksi pendakwaan kelima, berkata, dia telah dilayan seperti hamba abdi oleh Siti Bainun ketika menetap di rumah perlindungan itu.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Rabu depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, Siti Bainun, langsir, marah, pukul, Bella