Elon Musk bukan lagi pemegang saham terbesar Twitter?


  • Bizz
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Musk menyatakan hasrat mahu membeli Twitter sepenuhnya. — AFP

MANUSIA terkaya dunia, Elon Musk dilaporkan tidak lagi menjadi pemegang saham terbesar Twitter selepas sebuah syarikat pelaburan, Vanguard Group membeli pegangan sebanyak 10.3 peratus dalam laman media sosial terkemuka itu.

Musk sebelum ini menjadi pemegang saham terbesar apabila membeli 9.2 peratus ekuiti dalam Twitter.

Menurut laporan kewangan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC), Vanguard kini memiliki 82.4 juta saham Twitter.

Akhbar The Wall Street Journal melaporkan, pegangan Vanguard kini mencecah nilai AS$3.78 bilion (RM16 bilion), berdasarkan harga pasaran ketika ditutup pada pada Rabu.

Pada Rabu, Musk membuat tawaran bagi membeli Twitter, berdasarkan rekod fail SEC.

Beliau dilaporkan sedia membayar AS$54.20 (RM229.46) setiap saham bagi membeli 100 peratus pegangan saham syarikat berkenaan.

Screenshot 2022-04-15 143602

Musk bukan lagi pemegang saham terbesar Twitter. — AFP

Tawaran wang tunai itu menjadikan nilai syarikat media sosial berkenaan pada harga AS$43.4 bilion (RM183.73 bilion).

"Saya melabur dalam Twitter kerana saya percaya potensinya untuk menjadi platform kebebasan bercakap di seluruh dunia. Twitter perlu ditransformasi sebagai syarikat swasta.

"Ini adalah tawaran terbaik dan terakhir saya, tetapi jika ditolak, saya sedia mempertimbangkan posisi saya selaku pemegang saham," tulis Musk menerusi emel kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Twitter, Bret Taylor.

Musk bagaimanapun masih lagi merupakan pemegang saham individu terbesar Twitter manakala pengasas syarikat itu, Jack Dorsey berada di tempat kedua. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram