RENTETAN isu rakaman tular berhubung seorang pengurus sebuah kedai perkakasan di Bandar Seri Putra, Selangor yang dikatakan melarang penyelia untuk mengambil pekerja berbangsa India, seorang lelaki tampil bersuara terhadap tindakan rasis pengurus terbabit.
Menerusi satu rakaman video di TikTok menggunakan nama @artprochefpro, lelaki itu meminta pengurus kedai terbabit untuk tidak menggunakan barang-barang keluaran kaum India.
Rakaman video TikTok @artprochefpro yang dikongsi di Facebook.
"Terbaharu saya tengok di Facebook, pengurus kedai MR D.I.Y cawangan Bandar Seri Putra yang berbangsa Melayu beritahu penyelia supaya tidak mengambil pekerja berbangsa India.
"Hello pengurus berkenaan, kalau anda benci sangat dengan kaum India, kalau tak suka dan bersikap rasis macam tu, mulai hari ini kalau kau ada maruah, jangan makan rempah-ratus keluaran India.
"Yang kau pergi restoran mamak semua tu pakai rempah-ratus keluaran India. Kalau ada maruah, kau berhenti guna hari ini.
"Pergi ke kedai Cina dan beli rempah yang digunakan dalam masakan bak kut teh. Cari yang halal punya, okay," perlinya.
Tambah lelaki itu, dia kecewa dengan sikap diskriminasi kaum yang ditunjukkan pengurus terbabit dan menyifatkan tindakannya tidak kena tempat.
"Setahu saya dalam hal ini otak anda di lutut... saya tak nak marah bulan puasa, saya pun tak nak maki-maki tapi terus-terang saya kata otak anda di lutut," katanya lagi.
Dia turut meluahkan kekesalan kepada bos kedai perkasas itu yang didakwa mengambil pengurus dengan sikap rasis.
"Seterusnya kepada bos MR D.I.Y Bandar Seri Putra, kalau anda ambil pengurus yang rasis sebegini, bagaimana anda mahu jalankan perniagaan? Kalau anda rasis sangat, anda tak boleh buat bisnes, takkan anda tak tahu.
"Kalau ambil pengurus bodoh macam ni, macam mana. Sekarang sudah tular di media sosial. Lain kali kalau nak ambil pekerja, pengurus atau bahagian sumber manusia ke, kalau dia rasis jangan ambil. Ini kerana anda jalankan perniagaan," katanya.
Kenyataan rasmi daripada MR D.I.Y berhubung insiden itu.
Video tersebut turut dikongsi di Facebook oleh individu bernama Manosaras Manosaras di laman Facebook Kes-Kes Jenayah di Malaysia.
Sebelum itu, MR D.I.Y pada Khamis telah mengeluarkan kenyataan berhubung insiden terbabit dengan memaklumkan bahawa syarikat menjalankan siasatan dalaman dan menyeluruh serta-merta ke atas aduan berkenaan.
“Kami mengesahkan tingkah laku kakitangan itu. Ia didapati tidak boleh diterima dan melanggar dasar kami berhubung kepelbagaian serta keterangkuman.
“Tindakan sewajarnya sedang diambil untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya dalam kenyataan itu.
Rakaman tular perbualan penyelia kedai MR D.I.Y memaklumkan kepada pencari kerja bahawa pengurus kedai cawangan itu tidak mahu pekerja berbangsa India.
Kenyataan itu menyusul selepas seorang pengguna TikTok @itsbrownbarbie mendakwa seorang kakitangan MR D.I.Y mendiskriminasi kaum India.
Katanya, insiden itu berlaku ketika adiknya mencari pekerjaan di cawangan kedai terbabit.
“Saya dan adik saya ke kedai itu dan segera diberitahu bahawa pengurus MR D.I.Y tidak mahu mengambil orang India,” katanya dalam video tular itu.
Dalam pada itu, MR D.I.Y dalam kenyataan sama berkata, pihaknya telah menghubungi individu terbabit untuk menyuarakan kekesalan mereka atas kejadian itu dan memohon maaf kepadanya.
“MR D.I.Y ingin mengulangi kami tidak menerima sebarang tingkah laku yang melanggar dasar kepelbagaian serta keterangkuman kami dan akan berusaha sedaya upaya untuk mencegah kejadian sedemikian pada masa depan.
“Kami adalah majikan peluang sama rata dan syarikat Malaysia yang membanggakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram