KEMELUT yang melanda Perak FC nampaknya semakin meruncing apabila tunggakan gaji yang sepatutnya dibayar pada 31 Mac lalu tidak berjaya diselesaikan.
Perkara itu difahamkan berlaku akibat kegagalan urusan penjualan kelab tersebut yang ketika ini sedang hangat diperkatakan.
Seorang pengguna Facebook, Ahmad Kajebo, yang mengakui bahawa dirinya adalah orang dalam Perak FC mendakwa, kegagalan urusan tersebut adalah disebabkan keengganan pemilik Perak FC iaitu Impact Media and Communication (IMC) Sdn Bhd yang mahu melindungi segala muslihat mereka.
"IMC sebenarnya adalah syarikat yang menguruskan serta mencari sponsor untuk Perak FC sahaja. Terdapat dua orang penting yang memberi dana kepada mereka. Orang penting yang saya maksudkan bukanlah ahli politik, tetapi mereka adalah pemilik sebenar.
"Pada Januari lalu, dana dari orang penting ini lambat masuk, menyebabkan kemelut yang tidak dapat dielakkan. Kebetulan juga pada masa itu, pihak IMC sudah mendapatkan tajaan dari luar. Dengan sifat gila kuasa Encik Khairul Mahmood (pengerusi IMC), beliau membuang dua orang penting dan menghalang mereka berdua membantu," dakwanya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Ahmad Kajebo turut mendakwa, selepas membuang dua orang penting itu, tajaan luar tersebut tidak masuk, menyebabkan gaji pemain dan pasukan teknikal tidak dibayar, manakala hutang tidak dapat diselesaikan.
"Maka bermulalah agenda jahat IMC. Disebabkan beliau ingin melegakan hati peminat dari mengecam IMC, beliau menyatakan bahawa dirinya ditipu dan akan melaporkan kepada polis.
Kenapa perlu dia laporkan kepada polis? Nak jatuhkan orang penting? Jikalau benar dia ditipu, pasti dia buat laporan polis awal-awal dulu," soalnya.
Tambah Ahmad Kajebo, kini, orang penting berkenaan menawarkan kepada IMC untuk melepaskan Perak FC dan akan membayar duit yang telah dikeluarkan pihaknya.
"Scammer jenis apa yang datang nak tolong balik? Scammer jenis apa yang datang sanggup membayar hutang jutaan ringgit yang tertunggak? Kalau betul orang penting ini scammer, pasti mereka lari dari menolong Perak FC. Bukannya menolong Perak FC," tegasnya.
Katanya lagi, proof of funds yang diminta oleh pihak IMC seperti yang dilaporkan hanyalah satu alasan yang digunakan untuk mengekalkan pegangan terhadap kelab itu.
Tambahnya, orang penting tersebut terlibat dalam perniagaan minyak dan gas (oil and gas) yang berpangkalan di Perak dan mempunyai hubungan luar dengan syarikat induk di Amerika Syarikat.
"Disebabkan itulah, pihak MFL tidak meminta proof of funds dari orang penting ini. Kenapa? logik akallah, kalau seseorang melakukan bisnes minyak dan gas pasti pihak ini merupakan orang yang berduit.
"IMC sahaja yang kebulur nak tengok proof of funds sebab dia nak mencari pihak lain untuk membeli Perak FC dan dalam masa yang sama, IMC akan dapat melindungi segala muslihat yang dibuat mereka," dakwanya.
Majoriti sebelum ini melaporkan bahawa IMC menafikan pihaknya menolak untuk berjumpa dengan individu yang berminat untuk membeli kelab itu sebaliknya memerlukan pihak pembeli untuk menyerahkan dokumen proof of funds terlebih dahulu sebelum apa-apa rundingan terperinci boleh diteruskan.
Majoriti sedang mendapatkan respons IMC berhubung dakwaan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram