Selepas Big Stage, Tegar Septian mahu buka bisnes makanan


  • Hiburan
  • Khamis, 31 Mac 2022

TEGAR akui dia sangat merindui keluarga dan mahu berehat dahulu selepas pulang ke Indonesia.

PENYANYI asal Indonedia, Tegar Septian, mahu membuka cabang baharu dalam hidupnya dengan menceburi bidang usahawan makanan di Indonesia.

Menurut finalis Big Stage itu, dia akan memanfaatkan wang kemenangannya di pertandingan itu untuk tujuan berkenaan selain membina kediaman yang lebih selesa buat keluarga serta membeli gitar untuk memudahkan dia berkarya.

"Dengan wang yang ada saya mahu buka perniagaan, mungkin buka bisnes makanan di Indonesia secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

"Selain itu, saya mahu bina rumah untuk keluarga dan guna sedikit modal untuk beli keperluan berkarya... mungkin gitar atau kamera," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, dia bersyukur meskipun hanya mendapat tempat kelima dan menganggap itu sebagai pencapaian yang terbesar dalam hidupnya.

Berkongsi tentang perancangan selepas Big Stage, Tegar juga memberitahu dia akan melancarkan lagu baharu tidak lama lagi yang dihasilkan sepenuhnya oleh komposer dari Indonesia.

Sementara itu, Tegar turut memberitahu, dia juga mahu berehat terlebih dahulu selepas pulang ke Indonesia pada Khamis, meluangkan masa bersama keluarga sebelum aktif kemabli bekerja untuk keluarga.

"Saya mahu melepaskan rindu terlebih dahulu dan kemudian fokus untuk bina kehidupan baharu untuk keluarga.

"Walaupun saya seorang artis, saya tidak ada pendapatan tetap, sebab itu saya mahu berniaga untuk tambah pendapatan keluarga," ujarnya.

Kongsinya lagi, dia juga masih bernyanyi di jalanan yang mana selama ini juga menjadi sumber pendapatan buat keluarganya di Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram