Nama Caion kini jadi sebutan, ramai peminat Selangor sudah lupakan Ifedayo


  • Podium
  • Rabu, 13 Apr 2022

Caion meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang KDA FC Ahad lalu. — Bernama

PENYERANG import Selangor FC, Herlison Caion tidak mahu terlalu selesa dan mahu terus bekerja lebih keras walaupun sudah menampilkan aksi memberangsangkan sejak tiba di kelab itu.

Dia menganggap bahawa ini baru sahaja permulaan dan masih banyak yang perlu dilakukan sekiranya mahu menghasilkan jaringan selepas ini.

“Saya gembira dan mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya setiap masa dan saya bekerja keras setiap masa untuk pasukan.

"Saya hanya nak cakap saya gembira sebab rakan sepasukan sentiasa membantu tetapi saya perlu bekerja lebih keras untuk menjaringkan gol.

“Jika saya tidak berusaha, gol tidak akan datang. Tetapi paling utama adalah saya nak berusaha keras untuk pasukan, siapa yang menjaringkan gol tidak penting,” katanya.

Caion sudah menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini, dengan dua gol hadir ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC Ahad lalu.

Dua golnya itu berjaya membantu The Red Giants membelasah KDA FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan meletakkan Selangor FC di tangga kelima liga selepas tiga perlawanan.

Sementara itu, pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar menyifatkan barisan pertahanan telah belajar daripada kesilapan lalu dan beraksi lebih baik pada Ahad lalu.

Namun, dia percaya Selangor FC masih berpeluang untuk menang tanpa bolos dalam aksi aksi seterusnya dan tidak perlu menjadikan satu gol dibolosi KDA FC tempoh hari sebagai satu tekanan berterusan.

“Bukan rezeki kami untuk mendapat ‘clean sheet’ pada malam ini (Ahad) tetapi Insya-ALLAH kami akan buat yang terbaik dalam perlawanan seterusnya tanpa bolos dan menang.

“Bagi saya macam aksi minggu lalu, kami bermain 10 orang jadi mungkin daripada segi kecergasan, fokus agak lemah sebab ambil mudah dengan pihak lawan, tapi hari ini (Ahad) kita tidak ingin benda sama berulang dan kami lebih fokus.

“Mungkin ini satu permulaan untuk kita lebih bersemangat dan setiap perlawanan kita akan pastikan untuk tidak mengambil mudah selepas ini,” katanya.

Selangor FC akan bertandang ke Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak untuk bertemu Terengganu FC pada 22 April 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram