Penjual beg rugi berganda, bukan saja beg LV RM6,500 lesap tapi penghantar barang pun tidak dapat dikesan


  • Tular
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Beg tangan LV yang hilang semasa penghantaran dibuat oleh pemandu Lalamove pada 26 Mac lalu. — Facebook

BARANG tak sampai, duit pula melayang. Begitulah nasib yang dialami peniaga beg dalam talian, Vintage Sac MY selepas barangan berupa beg tangan mewah berjenama Louis Vuitton (LV) berharga RM6,500 tidak sampai ke tangan pembeli.

Lebih mendukacitakan, pihaknya perlu mengeluarkan sejumlah RM6,500 lagi untuk membuat bayaran pampasan kepada pembeli tersebut.

Jurucakap syarikat yang dikenali sebagai Jess berkata, kejadian tersebut berlaku pada 26 Mac lalu ketika mereka mengambil perkhidmatan Lalamove untuk membuat penghantaran beg LV Locky BB kepada pembeli di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, jarak perjalanan antara pihaknya di Tropicana Avenue dengan pembeli tersebut tidak jauh iaitu kira-kira 11 kilometer dengan kos penghantaran sebanyak RM11.

277767215_511688720682459_4487611685534527901_n

Beg tangan berjenama mewah yang hilang dalam perjalanan kepada pemiliknya. — Facebook

Bagaimanapun, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan penghantaran berkenaan kerana beg LV itu yang sepatutnya dihantar kira-kira pukul 3 petang, masih belum sampai ke tangan pembeli walaupun dua jam telah berlalu.

"Apa yang lebih merisaukan, pemandu itu langsung tidak membalas pesanan atau ketika dihubungi selepas itu.

"Kami pernah berdepan keadaan seperti penghantaran tertunda dan sebagainya, tetapi kali ini memang berbeza.

"Situasi tersebut begitu meragukan kerana jarak destinasi dekat saja tetapi tempoh penghantaran mengambil masa kira-kira dua jam," katanya kepada Majoriti.

Bercerita lanjut, Jess berkata, dia segera memaklumkan perkara itu kepada pihak Lalamove bagi mengenal pasti kedudukan pemandu terbabit, namun hanya dimaklumkan bahawa dia telah menghilangkan diri.

photo1649417948

Pemandu Lalamove terbabit gagal dihubungi selepas dua jam berlalu. — Facebook

Katanya lagi, disebabkan kejadian itu, mereka terpaksa membuat bayaran ganti rugi sebanyak RM6,500 kepada pembeli.

"Selalunya dalam transaksi dalam talian, kebanyakan peniaga mengamalkan polisi untuk tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan atau kerosakan semasa penghantaran.

"Begitupun, kami mengambil tanggungjawab itu untuk memulangkan duit bayaran kepada pembeli pada hari sama kejadian itu berlaku," katanya.

Menurutnya lagi, dia kecewa dengan penjelasan pihak Lalamove yang dianggap seolah-olah lepas tangan dalam insiden itu.

Lokasi terakhir pemandu Lalamove sebelum dia tidak dapat dikesan. — Facebook

"Pihak Lalamove memaklumkan kononnya kami boleh menuntut ganti rugi atas kehilangan barang jika kami mengambil insurans perlindungan.

"Begitupun, apabila kami periksa aplikasi Lalamove sendiri, tiada maklumat berhubung insurans boleh didapati. Mereka dakwa kami perlu ambil insurans itu daripada pihak ketiga," katanya.

Tambahnya, Lalamove hanya boleh membayar RM400 sebagai ganti namun, jumlah itu tidak sampai 10 peratus daripada jumlah kerugian yang perlu ditanggungnya.

"Kami tidak dapat berbuat apa-apa, hanya boleh mengambil peristiwa ini sebagai pengajaran," katanya yang turut memaklumkan bahawa kejadian itu telah dilaporkan kepada polis.

Dalam pada itu, pihak Majoriti turut berusaha mendapatkan Lalamove bagi mendapat penjelasan lanjut berhubung insiden itu. — Majoriti