JENAYAH membabitkan kecurian pakaian dalam wanita bukan perlakuan baharu dalam negara, malahan turut berlaku di serata dunia.
Pada Jumaat, tular di media sosial, perbuatan seorang lelaki di Taman Makmur, Kluang, Johor yang dirakam mencuri pakaian dalam wanita disidai di luar sebuah rumah.
Sebelum itu pada bulan lalu, seorang warga emas dihukum penjara sebulan kerana berkelakuan tidak senonoh dengan beronani sambil mencium pakaian dalam wanita yang dijemur penghuni di belakang sebuah rumah flat di Sri Sentosa, Jalan Klang Lama di ibu negara.
Mengulas kejadian berkenaan, penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, perbuatan individu sedemikian merupakan salah satu penyakit mental yang dipanggil sebagai 'underwear fetish'.
"Fetisisme adalah penyakit yang dicirikan oleh rangsangan seksual disebabkan oleh objek tidak bernyawa, selalunya termasuk pakaian seperti seluar dalam dan coli wanita.
"Antara faktor terjadinya masalah berkenaan adalah berkait dengan biologi atau genetik dan juga faktor persekitaran.
"Ada kes di Amerika Syarikat (AS), individu berkenaan sanggup membakar gudang untuk mencapai kepuasan seksualnya.
"Maka, tindakan individu itu berkait dengan tahap psikologi dan sangat kompleks," katanya kepada Majoriti.
Akhbar Satar
Tambah Akhbar, meskipun seseorang individu itu mengalami masalah sebegitu dan tidak mendatangkan sebarang kecederaan atau kematian kepada orang lain, namun perbuatan mencuri pakaian dalam wanita bukanlah sesuatu yang baik.
"Perkara ini tidak patut berlaku. Apa paling penting, orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika menjemur pakaian di luar rumah.
"Kita jangan bagi mereka peluang untuk mencuri. Amalkan sikap berjaga-jaga," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram