Tular 2 video pemandu kencing, pandu berbahaya: Polis Johor kesan rakyat Singapura terbabit


  • 112
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Video rakaman aksi tidak senonoh pemandu BMW berkenaan, dipercayai rakyat Singapura. — Facebook/Fuh

PIHAK polis Johor akan menjalankan siasatan terhadap video tular melibatkan seorang pemandu kereta BMW yang dirakam sedang membuang air kecil secara terbuka di tepi kawasan kedai dipercayai di Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung isu video tular berkenaan dan akan segera mengesan suspek yang dipercayai rakyat Singapura.

"Pihak polis akan jalankan siasatan di bawah Sekyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dan akan segera mengesan suspek untuk siasatan polis.

"Kami juga akan serahkan hasil siasatan nanti kepada pihak pendakwa raya untuk nasihat dan tindakan selanjutnya," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, beliau memberitahu, isu pemandu kereta BMW berwarna emas yang memandu dalam keadaan berbahaya di simpang lampu isyarat Felda Gugusan Adela, Kota Tinggi, Johor juga dalam siasatan pihak polis.

"Kedua-dua kes masih dalam siasatan. Kena fahamlah bila melibatkan dua negara, kita kena jaga perasaan kedua-dua negara itu.

"Yang bermasalah satu orang sahaja bukan semua rakyat Singapura. Kami akan panggil saksi-saksi dan orang yang disyaki," katanya.

emas

Tangkap layar video BMW emas yang didakwa memandu secara melulu di simpang lampu isyarat Felda Gugusan Adela, Kota Tinggi.

Tambahnya, kepercayaan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan perlu kerana berkemungkinan video tular berkenaan bukan terjadi di Malaysia tetapi di negara Singapura.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan memanggil individu yang membuat video berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Dalam pada itu, Kamarul turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengapi-apikan situasi yang tegang itu dan hanya fokus kepada kesalahan yang dilakukan.

"Kita tidak payah nak hangatkan suasana dengan Singapura. Jangan kita jadi pencetus. Sesiapa yang salah kita ambil tindakan. Cuma saya harap warganet jangan burukkan lagi keadaan kedua negara, kita fokus kesalahan saja," ujarnya.

Pada Khamis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sebanyak 108,757 saman tertunggak direkodkan yang membabitkan pelbagai kesalahan trafik dilakukan oleh warga Singapura bagi tempoh 2016 hingga tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 21,452 saman trafik belum dijelaskan pada 2016, sebanyak 19,275 saman (2017) dan 30,946 saman (2018).Pada 2019, sebanyak 24,846 saman tertunggak direkodkan, sebanyak 12,128 saman (2020) dan 110 saman (2021).

"Saman yang telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya memandu melebihi had laju, memotong barisan, mengabaikan isyarat lalu lintas dan tidak memakai tali pinggang keledar, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan atau spesifikasi, terlibat kemalangan jalan raya, halangan lalu lintas serta kesalahan lampu brek dan sebagainya," jelas Mat Kasim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram