KEBIASAANYA bagi sesiapa yang tinggal di kawasan bandar pasti akan mengalami kesesakan jalan raya yang luar biasa sehingga kenderaan tidak dapat bergerak selama berjam-jam.
Kesesakan jalan raya yang terjadi itu boleh jadi disebabkan kemalangan, cuaca hujan, penyenggaraan jalan, memberi laluan khas untuk ambulans dan semestinya faktor terbesar adalah disebabkan perayaan.
Tetapi itu kisah di kota raya, berbeza dengan sebuah video tular di Sandakan, Sabah yang mana kesesakan jalan raya terjadi di sebuah kampung dengan kepadatan kereta seakan di bandar besar meskipun ketibaan bulan Syawal dalam beberapa minggu lagi.
Menjengah di ruangan komen video yang berdurasi 38 saat itu, rata-rata penduduk di Kampung Tinusa 2 itu memberi komen kesesakan tersebut sering terjadi terutamanya apabila menjelang musim perayaan.
Rakaman keadaan jalan raya yang sesak di Kampung Tinusa 2 meskipun belum tiba bulan Syawal.
Bercerita kepada Majoriti, penduduk di kampung tersebut berkata, sebagaimana dalam video berkenaan, tempat tinggal mereka memang sering mengalami kesesakaan jalan raya yang teruk sehingga ada yang sanggup berjalan kaki pulang ke rumah ketika musim perayaan.
"Penduduk di sini memang selalu menghadap jammed terutamnya kalau waktu perayaan. Kalau boleh orang di sini merancang dulu perjalanan sebab kalau raya pertama memang sudah mulai sesak. Macam dalam video, raya tak datang lagi dah mulai jammed.
"Selalu lebih sejam jammed terutama kalau pemandu yang nak keluar dari kampung tidak ada sikap toleransi dengan driver yang nak masuk ke kampung. Dengan jalan yang kecil memang ambil masa berjam-jam juga.
Menurutnya, kejadian seperti dalam video itu adalah disebabkan bazar Ramadan yang kembali memeriahkan kampung mereka dan faktor-faktor seperti jalan sempit, kereta double park turut menyesakkan jalan raya.
Tangkap layar pengalaman beberapa penduduk Kampung Tinusa 2 berhubung perkara berkenaan.
Malah, sepanjang tinggal selama 25 tahun di Kampung Tinusa 2, perkara itu memang sering terjadi dan terdapat sesetengah orang yang sanggup berjalan kaki selama kira-kira 20 minit daripada terperangkap dalam kesesakan.
"Saya pernah jalan kaki ke rumah tapi dalam 500 meter sajalah. Kawan saya pernah jalan kaki sepanjang dua kilometer iaitu dari SMK Tinusa hingga ke hujung kampung kerana ingin membuang air kecil. Maklumlah, semasa beraya kan, makan tanpa sedar, minum tidak terkawal. Balik pula hadap sesak jalan raya, tak sempat untuk tahan. Sebab itu dia memilih untuk berjalan balik rumah
"Seingat saya dari saya kecil lagi sudah jammed begitu. Berbelas tahun jugalah. Sampai orang luar yang bukan dari kampung Tinusa memang tidak ingin berkunjung ke kampung kami lagi pada hari raya pertama," tambahnya.
Kesesakan lalu lintas itu sememangnya menunjukkan kemeriahan kampung berkenaan namun jika dilihat kekurangannya, sedikit sebanyak membawa mudarat untuk penduduk mahupun orang luar yang ingin berkunjung ke sana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram