Berhujan berpanas, 'Gadis bonet' di Sabah tempuh 130km demi kelas 'online'


  • Massa
  • Jumaat, 08 Apr 2022

KETIKA menjalani kelas dalam talian, Anis Arina kadangkala akan duduk di kerusi hadapan atau di bonet kereta.

BERHUJAN, panas di tepi jalan di dalam kereta merupakan cabaran yang perlu ditempuh oleh seorang mahasiswi untuk membolehkan dia menghadiri kelas dalam talian di kampung halaman di Telupid, Sabah.

Video gadis tersebut berkongsi pengalaman menjalani kelas dalam talian menjadi tular di laman sosial Tiktok, yang mana dia duduk di dalam bonet kereta untuk ditepi jalan sebuah perkampungan yang berdekatan dengan rumahnya.

Pemilik akaun nisa_rinaa atau nama sebenarnya, Anis Arina Aqilah Roslee, 23, memberitahu mendapatkan sambungan rangkaian yang stabil di kampung halamannya merupakan satu cabaran terutama selepas satu-satunya pencawang di daerah Telupid terbakar pada Mac 2022.

"Sejak pencawang itu terbakar, saya terpaksa keluar dan pergi ke kampung terdekat untuk mendapatkan rangkaian internet yang stabil bagi menghadiri kelas dalam talian di dalam kereta.

"Setiap kali kelas, saya akan keluar pergi ke kampung berdekatan, kira-kira 10 kilometer (km) hingga 15km dari kawasan rumah," katanya kepada Majoriti.

Tambah pelajar tahun akhir, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial), Universiti Pendidikan Sultan Idris itu, dia juga pernah ke bandar Sandakan, Sabah yang sejauh kira-kira 130km untuk menghadiri kelas dalam talian.

Kongsinya lagi, apa yang dilaluinya turut dialami oleh sebahagian penduduk di Telupid termasuk ahli keluarganya bagi membolehkan mereka mendapatkan rangkaian internet.

anis 5

ANIS Arina mengakui bahawa menjalani kelas dalam talian merupakan satu cabaran terutama apabila terdapat masalah rangkaian.

Katanya yang menjalani kelas dalam talian selama dua tahun setengah, sejak dulu memang ada gangguan internet dan ada penduduk yang perlu keluar ke kampung terdekat untuk membolehkan mereka mendapatkan internet yang stabil.

"Saya mengikuti kelas di dalam kereta, kadangkala di kerusi hadapan dan ada juga duduk di bonet kereta, ia memang satu cabaran, termasuk mendepani keadaan cuaca yang hujan dan panas, juga masalah teknikal gajet.

"Tetapi masalah rangkaian telekomunikasi merupakan cabaran yang terbesar, malah ia juga berkait dengan projek tahun akhir yang sedang saya usahakan," katanya yang bakal kembali ke kampus pada Mei 2022.

Anis Arina turut memberitahu, dia tidak menyangka bahawa perkongsian video di TikTok menjadi tular sehingga mencecah lebih 1 juta tontonan.

Jelas anak sulung daripada tiga beradik itu, menerusi video-video yang dikongsi dia mendapat banyak respons positif termasuk kata-kata semangat dan tawaran daripada beberapa individu yang ingin menolongnya.

"Ada yang mesej saya ingin memberi bantuan gajet dan ada juga yang menwarkan saya untuk menjalani kelas di rumah mereka, tetapi pada saya selagi mampu saya tiada masalah untuk menjalani kelas seperti sekarang (di dalam kereta) sehingga pencawang dapat dibaiki sepenuhnya," ujar gadis asal Beaufort, Sabah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram