PRN Johor: Wanita mengamuk pusat undi tutup awal


  • Tular
  • Sabtu, 12 Mac 2022

TANGKAP layar video wanita mengamuk akibat tidak dibenarkan masuk mengundi pada Sabtu.

SEORANG pengundi wanita mengamuk apabila sebuah pusat pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditutup awal pada Sabtu.

Menerusi video tular di media sosial, wanita tersebut mendakwa, sebuah pusat pengundian Dewan Undangan Negeri (Dun) Bekok ditutup pada jam 2 petang.

Hadir ke sekolah itu yang dijadikan pusat pengundian itu bersama dengan salah seorang calon PRN, wanita tersebut menggesa calon itu supaya berjuang untuk pengundi-pengundi yang masih layak mengundi tepat pada masanya.

"Anda tak boleh berputus asa macam itu sahaja dan anda perlu pertahankan hak anda sebagai calon. Tolong berjuang untuk hak anda dan kami mahu tahu alasan sebenar. Panggil SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) datang ke sini.

"Pengundi sudah datang tetapi mereka tak dibenarkan mengundi, ini salah.

"Sekolah mana lagi yang akan tutup pukul 2 atau sebelum pukul 5 petang. Ada berita keluar tak? Mereka (pengundi) cuma digalakkan (untuk mengundi awal) tapi tak pernah tulis pusat mengundi akan tutup pukul 2 petang.

"Ada orang datang (mengundi) pukul 3 petang cuci pinggan, mereka tak tahu dan tak ada telefon nak tengok. Bagaiman dengan hak mereka sebagai pengundi?" soalnya.

Sementara itu, menurut laporan Astro Awani, tiada pusat mengundi bagi kerusi Dun Bekok yang ditutup mengejut seperti yang ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, sebaliknya, kesemua 23 pusat mengundi di Dun itu beroperasi mengikut tempoh masa yang telah dikeluarkan oleh SPR.

“Setakat ini pihak polis maklum tentang kejadian yang tular itu, tetapi buat masa ini belum ada laporan dibuat oleh mana-mana pihak.

“Tetapi berdasarkan semakan, memang SPR sudah lebih awal mengeluarkan pemakluman bahawa ada beberapa pusat pengundian akan ditutup awal. Jadi tidak ada isu,”katanya.

Untuk rekod, SPR ada memaklumkan pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal.

Antara yang diwartakan adalah Balai Raya Pulau Besar di Mersing ditutup pada 11 pagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil, Mersing pada 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pada 4 petang.

Pusat-pusat mengundi lain ditutup pada 6 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram