Penganggur lastik pengguna jalan raya di Sungai Petani ada rekod lampau dadah


  • 112
  • Selasa, 08 Mac 2022

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan suspek melastik pengguna jalan raya lain dalam kejadian pada Isnin. — Facebook

TULAR di media sosial rakaman video seorang lelaki melastik pengguna jalan raya lain dalam kejadian di lampu isyarat Amanjaya di Sungai Petani, Kedah dipercayai dalam kejadian pada Isnin.

Video berdurasi 29 saat itu merakam aksi suspek melastik pengguna jalan raya ketika dia memberhentikan motosikal semasa lampu isyarat merah di satu persimpangan jalan.

Perbuatannya itu bagaimanapun dikatakan berjaya dirakam sebelum dimuat naik di Facebook Penduduk Sungai Petani bertujuan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada.

Rakaman tersebut kemudian tular selepas dikongsi pengguna media sosial lain termasuk laman Facebook We are Malaysians.

RAKAMAN video tular menunjukkan suspek melastik pengguna jalan raya lain dalam kejadian pada Isnin. — Facebook

Sementara itu, semakan Majoriti mendapati, suspek yang juga seorang penganggur bagaimanapun sudah dicekup pada malam Isnin dan kini dalam proses tahanan reman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 49 tahun itu mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan mendakwa mengalami halusinasi.

Menurutnya, suspek yang menunggang motosikal itu dilihat memegang lastik getah di tangan kiri sebelum menghala ke hadapan.

"Perbuatan itu bagaimanapun sempat dirakam seorang pengguna lain dan memuat naik di Facebook Penduduk Sungai Petani bertujuan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada.

"Pada jam 11 malam (Isnin), suspek ditahan di Taman Desa Aman, Sungai Lalang," katanya.

Adzli memberitahu, polis turut merampas lastik serta batu dalam raga motosikal miliknya dan suspek dikesan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955 dan siasatan selari dilakukan bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1956. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram