DUA kali runtuhan tanah berlaku disertai dengan hujan gerimis. Itu perkongsian seorang saksi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Kuala Lumpur yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta, petang Khamis.
Azril Sham Mohamed, 50, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja pulang dari tempat kerja di Bangi, sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada tanah runtuh itu.
"Apabila saya sampai di rumah sekitar 6 petang, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat tanah runtuh berhampiran kawasan rumah.
"Saya segera memanggil isteri dan anak saya untuk diselamatkan dan bawa mereka ke tempat selamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam Khamis.
RAKAMAN tular kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, pada petang Khamis. — Facebook
Azril berkata, dia telah menetap di kawasan perumahan berkenaan selama 13 tahun dan bencana itu merupakan kali pertama berlaku.
Dalam kejadian itu, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi telah dijumpai dengan mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan.
Mangsa kedua seorang wanita telah ditemui pada 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.
Sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.
Pasukan penyelamat kini giat mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram