Isu sotong ring, Jakim tunggu pengesahan sijil halal dari China


  • Primer
  • Jumaat, 11 Mac 2022

SEBELUM ini, tular dakwaan sotong ring yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong. — Gambar hiasan

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak terhadap peraturan ditetapkan, berkaitan isu sotong ring atau gegelang sotong yang didakwa sebagai dubur atau usus babi yang dijual di pasaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad pada Jumaat berkata, ia bagi menjaga kemaslahatan masyarakat.

"Hasil siasatan berhubung isu itu akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan setelah keputusan analisis makmal dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia. Sampel makanan tersebut telah dihantar kepada jabatan itu (Jabatan Kimia Malaysia) untuk tujuan analisis dan pengesahan.

"​Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri berkaitan telah mengambil tindakan awal sebaik isu tersebut ditularkan dengan turun padang menjalankan siasatan serta mengambil sampel untuk dianalisis," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menghubungi badan pensijilan halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan.

Terdahulu, tular menerusi media sosial mengenai dakwaan sotong ring yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong, selain ada pengguna media sosial yang meragui cap halal yang dicetak di label pembungkusan.

Idris berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak KPDNHEP bersama Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis yang tangkas menyiasat, serta meneliti segenap aspek isu tersebut.

Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Kimia Malaysia kerana telah memberikan keutamaan kepada sampel itu untuk dianalisis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram