SEORANG penghantar makanan mendakwa dirinya nyaris diterkam seekor harimau belang dalam kejadian di Taman Bersekutu dekat Dungun, malam Rabu.
Dalam kejadian pada 8.40 malam itu, Mohd Shafiq Mamat, 27, berkata dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permint Indah, sejurus selesai menghantar pesanan pelanggan di sekitar kawasan tersebut.
"Tiba-tiba saya ternampak kelibat harimau di sebelah kanan motosikal dan ia dilihat cuba menerkam ke arah saya, tak fikir panjang, saya terus pecut selaju yang mampu untuk selamatkan diri.
"Saya mengucap banyak-banyak dan berdoa agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Saya sempat menoleh ke arah harimau itu semula, jaraknya dengan saya lebih kurang lima meter sahaja, mujurlah akhirnya ia berhenti mengejar," katanya.
Dia yang hampir dua tahun bekerja sebagai penghantar makanan menyifatkan insiden itu sebagai pengalaman paling ngeri pernah dilaluinya setakat ini dan mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.
Menurut Mohd Shafiq, pada anggarannya saiz harimau belang itu lebih besar daripada motosikalnya dan ketinggiannya pula lebih kurang paras paha lelaki dewasa.Katanya lagi, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bersekutu telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, kakitangan jabatan itu telah ke lokasi tersebut untuk menjalankan siasatan dan membuat pemantauan.
"Saya berharap kejadian seperti ini akan segera dilaporkan kepada Perhilitan, bukan sekadar dikongsi dan tular di media sosial semata-mata kerana lebih cepat laporan dibuat lebih memudahkan siasatan," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram