‘Fans KL, mai Kedah jangan acah-acah hooligan’


  • Podium
  • Rabu, 09 Mac 2022

PENYOKONG KDA FC memberi peringatan kepada penyokong KL City FC supaya tidak melakukan kekacauan apabila bertandang ke gelanggang mereka malam ini. — KDA FC

AKSI penuh dramatik derbi Lembah Klang antara pasukan KL City FC menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super minggu lalu dicemari dengan insiden pergaduhan dalam kalangan penyokong, yang berlaku di luar Stadium Kuala Lumpur, Cheras selepas wisel penamat.

Insiden berkenaan tular di media sosial sehingga mendapat perhatian pihak polis yang sudah mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam kekecohan itu.

Penganjur Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan juga turut mengecam tindakan segelintir penyokong itu dan menyifatkan budaya samseng seperti itu tidak diterima dalam arena bola sepak tempatan.

Pergaduhan itu juga merupakan kali kedua berturut-turut melibatkan penyokong The City Boys selepas insiden seakan-akan sama berlaku di luar Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, Johor sejurus tamat perlawanan Piala Sumbangsih antara KL City FC dan Johor Darul Takzim (JDT) pada 26 Februari lalu.

Menyedari perkara itu, sebilangan penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC di Facebook memberi peringatan kepada penyokong KL City FC supaya tidak mengulangi perkara sama menjelang pertemuan kedua-dua pasukan bagi aksi Liga Super.

Seorang penyokong KDA FC dengan nama Pena Rimba Rimba berpesan kepada penyokong KL City FC supaya tidak melakukan provokasi pada perlawanan tersebut.

"Awat selama ni penyokong Kedah chengei sangat ka? Selama ni aku dok pi stadium tak apa pun... kalau pihak lawan buat provokasi bukan kata penyokong Kedah... lembu dalam kandang pun naik panas kalau punggung depa kena cucuk... so jangan dok try kot no," katanya.

Seorang lagi penyokong KDA FC, Walawei Safuan berkata, selepas menjuarai Piala Malaysia tahun lalu, terdapat segelintir penyokong KL City FC yang mula gemar melakukan provokasi terhadap penyokong lawan.

"Bangsa KL, fans KL yang acah-acah hooligans tu tak perlu hormat perangai depa memang mengalahkan b***k terlepas sangkar... baru menang Piala Malaysia langsung tak reti duduk diam... keluar balik puak-puak yang suka cari pasal provok fans lawan sampai gaduh bagai, contohnya kejadian di Cheras baru-baru ni KL lawan Selangor," katanya.

Skuad bimbingan Aidil Shahrin bakal menerima kunjungan anak buah Bojan Hodak di Stadium Darul Aman dalam perlawanan yang dijadualkan bermula 9 malam Rabu.

KDA FC kini menghuni tangga teratas Liga Super bersama-sama JDT, PJ City FC dan juga Negeri Sembilan FC selepas perlawanan pertama liga minggu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram