Idrus Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara


  • Primer
  • Selasa, 08 Mac 2022

IDRUS Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 Mac 2022.  — Facebook

TAN Sri Idrus Harun dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh setahun berkuat kuasa 6 Mac 2022.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan, Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan semula Idrus, 67.

Pada 6 Mac 2020, Idrus dilantik sebagai Peguam Negara bagi tempoh dua tahun menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020.

Sebelum dilantik sebagai Peguam Negara, Idrus merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, penasihat undang-undang di Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Cara Negara dan juga Hakim Mahkamah Rayuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram